EGH International sasar kumpul RM38.4 juta menerusi IPO menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 11:20 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

EGH International sasar kumpul RM38.4 juta menerusi IPO menjelang penyenaraian di Pasaran ACE Image from: EGH International sasar kumpul RM38.4 juta menerusi IPO menjelang penyenaraian di Pasaran ACE amree24/09/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept — EGH International Berhad membuka permohonan tawaran awam permulaan (IPO) dengan harga 16 sen sesaham, dan sasaran mengumpul RM38.4 juta bagi menyokong pengembangan operasi menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 16 Oktober 2026.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, permohonan dibuka pada 24 September dan akan ditutup pada 5 Oktober 2026, manakala proses pengundian permohonan dijadualkan pada 7 Oktober dan saham akan diperuntukkan kepada pemohon yang berjaya bermula 14 Oktober.

 

Ujarnya, dana hasil itu antara lain akan digunakan untuk membiayai pembinaan ibu pejabat baharu, gudang dan bilik pameran kumpulan di Bandar Bukit Puchong, Selangor selain memenuhi keperluan modal kerja serta membayar balik kemudahan pinjaman berjangka.

 

"IPO itu melibatkan sehingga 360 juta saham, terdiri daripada 240 juta saham baharu dan 120 juta saham sedia ada ditawarkan untuk jualan, dengan jumlah tersebut mewakili kira-kira 24% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan," kata EGH International.

 

Daripada tawaran runcit sebanyak 80 juta saham, sebanyak 50 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia menerusi proses pengundian, manakala 30 juta saham lagi dikhaskan untuk pengarah, pekerja yang layak serta individu menyumbang kepada kejayaan syarikat.

 

Jelas penyedia perkhidmatan hiasan dalaman dan jualan perabot itu, sejumlah 280 juta saham pula ditawarkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih melalui penempatan persendirian, yang terdiri daripada gabungan saham baharu dan saham sedia ada.

 

EGH_DagangNews2026

 

EGH International dijangka mempunyai permodalan pasaran RM160 juta berdasarkan modal saham diperbesarkan sebanyak 1 bilion saham, dengan IPO itu bersamaan nisbah harga kepada perolehan (PE) tersirat 14.68 kali berdasarkan keuntungan bersih RM10.9 juta.

 

"Kumpulan ditubuhkan pada 28 Oktober 2025 dan pada 2 September 2026 menyempurnakan pengambilalihan keseluruhan modal saham ECO Group Holdings Sdn Bhd (EGH) bernilai RM15.20 juta sebagai sebahagian daripada persediaan menuju penyenaraian," tambahnya.

 

Ia kemudiannya melaksanakan pembahagian saham daripada 15.2 juta saham kepada 760 juta saham, dengan langkah berkenaan yang antara lain bertujuan meningkatkan kecairan saham menjelang IPO.

 

Bagi pelabur runcit, permohonan saham boleh dibuat menerusi Borang Permohonan Putih, permohonan saham elektronik melalui mesin ATM bank yang mengambil bahagian atau permohonan saham internet menerusi portal perbankan terpilih.

 

Berjaya Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO EGH International, manakala Malaysian Issuing House Sdn Bhd pula dilantik sebagai rumah terbitan berkenaan.

 

Secara umum, kumpulan itu sudah menyiapkan lebih 200 projek merangkumi 57 hotel dan resort, 19 kemudahan penjagaan kesihatan, tiga institusi pendidikan serta lima ruang menunggu lapangan terbang di Malaysia, Kemboja, India dan Hong Kong. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved