OGX ceburi tenaga boleh diperbaharui, sasar pasaran pusat data menerusi kerjasama HYXI dari China

LocalTechnology
22 Sep 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

OGX ceburi tenaga boleh diperbaharui, sasar pasaran pusat data menerusi kerjasama HYXI dari China Image from: OGX ceburi tenaga boleh diperbaharui, sasar pasaran pusat data menerusi kerjasama HYXI dari China amree22/09/2026 - 14:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 SeptOGX Group Berhad memperluaskan perniagaan kepada industri tenaga boleh diperbaharui (RE) dan menyasarkan permintaan sistem simpanan tenaga dalam sektor pusat data (DC) yang berkembang pesat susulan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

 

Langkah terkini itu dilaksanakan menerusi kerjasama anak syarikat milik penuhnya, OGX Green Tech Sdn Bhd, yang dilantik sebagai pengedar sah Zhejiang Hyxi Technology Co Ltd (HYXI) bagi memasarkan, mengedar dan menjual pelbagai produk tenaga keluaran syarikat itu di Malaysia.

 

Menurutnya dalam kenyataan, HYXI merupakan syarikat teknologi yang berpangkalan di Hangzhou, China serta mempunyai kepakaran luas sejak sekian lama dalam sistem simpanan tenaga serta penyongsang, dengan turut memiliki kehadiran kukuh di pasaran Eropah.

 

"Menerusi pelantikan tersebut, OGX Green Tech akan dapat memberi tumpuan kepada pengedaran produk sistem simpanan tenaga bateri (BESS), penyongsang dan bateri untuk pelanggan kediaman serta segmen komersial dan perindustrian (C&I)," jelas OGX.

 

Kumpulan tersebut berkata, peluang luas turut dikenal pasti dalam kalangan pengendali DC yang semakin memerlukan alternatif lebih bersih dan berdaya tahan berbanding penjana sandaran diesel konvensional bagi memastikan kesinambungan bekalan tenaga.

 

Tambahnya, pengembangan ke industri RE itu merupakan kesinambungan daripada perniagaan rumusan DC dan infrastruktur perusahaan sedia ada, sekali gus membolehkan kumpulan memanfaatkan keupayaan teknologi, hubungan pelanggan serta kepakaran integrasi sistem.

 

OGX_DagangNews2026

 

Ujarnya, pengembangan tersebut juga membolehkan OGX menawarkan rumusan simpanan tenaga pelengkap kepada pelanggan yang sedia ada, di samping mengambil bahagian secara lebih aktif dalam permintaan BESS bagi aplikasi kediaman, C&I dan DC.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Pengarah Urusan OGX, Tan Suan Loong berkata, strategi itu selari model perniagaan berteraskan jenama yang diamalkan kumpulan untuk mengenal pasti jenama teknologi kukuh dan membawa penyelesaian mereka ke pasaran tempatan.

 

"Pelantikan oleh pihak HYXI menggabungkan kepakaran teknologi dan produk syarikat tersebut dalam rumusan simpanan tenaga dengan akses pasaran tempatan, keupayaan pengedaran serta pengalaman integrasi sistem OGX sendiri," jelas beliau.

 

Perniagaan baharu itu turut meletakkan kumpulan dalam kedudukan untuk memanfaatkan pertumbuhan jangka panjang peralihan tenaga Malaysia, yang didorong oleh tumpuan terhadap kecekapan tenaga, pengoptimuman kos dan daya tahan bekalan elektrik.

 

Katanya, peralihan kepada rumusan tenaga yang lebih bersih dan berdaya tahan membuka peluang baharu dalam segmen kediaman, C&I dan DC, selain berpotensi mempelbagaikan asas pendapatan OGX. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved