IPO SLGC terlebih langgan 3.1 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 6 Oktober

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 6:22 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

IPO SLGC terlebih langgan 3.1 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 6 Oktober Image from: IPO SLGC terlebih langgan 3.1 kali menjelang penyenaraian di Pasaran ACE pada 6 Oktober amree24/09/2026 - 18:22 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Sept — Tawaran awam permulaan (IPO) SLGC Berhad mendapat sambutan menggalakkan dengan terlebih langgan sebanyak 3.1 kali, menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 Oktober 2026.

 

Daripada 28 juta saham terbitan yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, kumpulan pembinaan tersebut menerima sejumlah 4,647 permohonan bagi sebanyak 113.71 juta saham dengan nilai kira-kira RM31.8 juta.

 

Bahagian awam mencatatkan lebihan langganan tertinggi iaitu 4.9 kali, dengan menerima 2,685 permohonan bagi 82.40 juta saham, manakala bahagian Bumiputera terlebih langgan 1.2 kali menerusi 1,962 permohonan bagi 31.31 juta saham.

 

Dalam pada itu, 2 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja kumpulan melalui Borang Merah Jambu habis dilanggan, manakala 70 juta saham bagi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) turut diisi.

 

Tawaran IPO SLGC membabitkan penerbitan 105 juta saham baharu pada harga 28 sen sesaham, mewakili 18.8% daripada modal saham diperbesarkan dan mengumpul hasil kasar RM29.4 juta. Sebanyak 63 juta saham sedia ada pula ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Urusan SLGC, Yong Zhen Lin berkata, sambutan terhadap IPO itu mencerminkan keyakinan pelabur institusi dan runcit terhadap rekod prestasi, keupayaan melaksanakan projek serta prospek pertumbuhan kumpulan.

 

"Kami melihat penyenaraian itu sebagai permulaan kepada fasa seterusnya untuk membangunkan keupayaan dan hubungan yang telah dibina kumpulan dalam industri pembinaan," katanya.

 

SLGC turut melihat peluang khususnya dalam segmen industri sebagai pemacu permintaan terhadap perkhidmatan pembinaan, susulan pelaburan berterusan dalam kilang pembuatan, gudang, kemudahan logistik, pusat data dan pembangunan industri lain.

 

Kumpulan itu berkata ia kini secara terpilih mengemukakan tender bagi projek baharu sambil mengekalkan disiplin pelaksanaan projek dan membina saluran projek yang sihat untuk tahun-tahun akan datang.

 

Setakat 12 Ogos 2026, SLGC mempunyai buku tempahan belum dibilkan kira-kira RM1 bilion, yang dijangka diiktiraf secara berperingkat dalam tempoh lima tahun kewangan akan datang. Kumpulan mempunyai pengalaman sejak 2009 dalam projek kediaman, komersial dan industri di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Daripada hasil IPO RM29.4 juta itu, sebanyak RM9.2 juta akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan pembinaan, RM7.6 juta bagi membayar balik pinjaman bank, RM500,000 untuk menaik taraf perisian pengurusan pembinaan dan RM7.5 juta bagi modal kerja am, manakala baki RM4.6 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved