hamden17/09/2026 - 15:25 Foto kredit iRumah Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept - Golden Destinations Group Berhad mendapat sokongan penuh pemegang saham bagi meneruskan cadangan pengambilalihan dua hartanah bernilai RM45 juta untuk dijadikan ibu pejabat baharu Kumpulan.
Syarikat berkata, kedua-dua resolusi biasa yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini diluluskan dengan sokongan penuh pemegang saham.
Kelulusan itu membolehkan anak syarikat milik penuhnya, ICE Holidays Sdn Bhd (ICE Holidays), meneruskan proses pengambilalihan berkenaan, tertakluk kepada kelulusan berkaitan dan pemenuhan syarat-syarat yang masih belum dipenuhi, jika berkenaan.
Cadangan pengambilalihan bernilai RM45 juta itu merangkumi dua lot komersial dan sembilan lot pejabat di Menara Liberty dengan nilai RM42.75 juta.
Ia turut melibatkan bangunan komersial dua tingkat bersebelahan yang dikenali sebagai Menara Liberty Annex, bernilai RM2.25 juta.
Golden Destinations berkata, kedua-dua pengambilalihan itu dikawal selia menerusi perjanjian jual beli bersyarat yang dimeterai antara ICE Holidays dan Liberty pada 11 Jun 2026.
Pengarah Urusan Golden Destinations, Mita Lim berkata, kelulusan tersebut membolehkan Kumpulan meneruskan satu daripada inisiatif utama yang digariskan dalam prospektus ketika penyenaraian syarikat.
Katanya, ibu pejabat baharu itu akan menyediakan platform lebih kukuh untuk menyokong pertumbuhan perniagaan, meningkatkan keupayaan operasi serta menampung pengembangan Kumpulan dalam jangka panjang.
“Kami berterima kasih kepada para pemegang saham atas sokongan penuh yang diberikan.
“Kelulusan ini membolehkan kami meneruskan satu inisiatif penting yang digariskan dalam Prospektus kami dan menandakan satu lagi langkah dalam memenuhi komitmen yang dibuat ketika penyenaraian,” katanya.
Beliau berkata, Golden Destinations kekal memberi tumpuan kepada penggunaan modal secara berdisiplin dan memastikan pelaburan yang dibuat menyokong keperluan operasi Kumpulan dalam jangka panjang. - DagangNews.com



