amree02/09/2026 - 14:55 Foto kredit iRumah Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Sept — Golden Destinations Group Berhad bakal menyatukan operasi dalam sebuah ibu pejabat baharu menerusi cadangan pemerolehan hartanah melibatkan Menara Liberty di Kuala Lumpur.
Menurut makluman kumpulan kepada Bursa Malaysia, aset dengan nilai keseluruhan RM45 juta, dijangka mengurangkan kebergantungan kepada premis sewaan serta memberi potensi pendapatan sewa berulang.
Bagi tujuan tersebut, anak syarikatnya, ICE Holidays Sdn Bhd, akan berusaha mendapatkan kelulusan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di ibu negara pada 17 September 2026 kelak.
"Cadangan pemerolehan daripada Liberty General Insurance Berhad itu melibatkan pembelian dua petak komersial dan sembilan petak pejabat dengan nilai tunai RM42.751 juta," kata Golden Destinations.
Sementara itu ujarnya, cadangan kedua pula membabitkan pemerolehan sebuah bangunan komersial dua tingkat dikenali sebagai Menara Liberty Annex dengan pertimbangan tunai sebanyak RM2.249 juta.
Secara keseluruhan, pemerolehan itu akan dibiayai sepenuhnya menggunakan sebahagian hasil tawaran awam permulaan (IPO) yang memang diperuntukkan bagi pembelian serta pengubahsuaian ibu pejabat.

Hartanah ini akan membolehkan kumpulan menyatukan operasi yang kini berpecah di beberapa lokasi kepada satu pusat, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi, kerjasama dan pemantauan pengurusan.
"Pemerolehan itu juga dijangka mengurangkan pergantungan tinggi Golden Destinations terhadap premis pejabat yang disewa, sekali gus memberi penjimatan kos sewaan tahunan kepada kumpulan," jelasnya.
Pada masa sama katanya, sebahagian daripada hartanah yang diperoleh kini sudah mempunyai penyewa dan dijangka menyumbang pendapatan sewa secara berulang selepas transaksi tersebut disempurnakan.
Menara Liberty yang terlibat dalam cadangan pertama mempunyai jumlah keluasan petak 11,794 meter persegi, manakala Menara Liberty Annex memiliki keluasan lantai keseluruhan 331.77 meter persegi.
Golden Destinastions sebelum ini memperuntukkan RM50 juta daripada IPO bagi tujuan pemerolehan ibu pejabat, dan menjadikan transaksi RM45 juta ini sebahagian pelaksanaan penggunaan dana tersebut.
"Cadangan ini tertakluk kepada kelulusan pemegang saham dan pihak berkuasa berkaitan, dengan penyempurnaan transaksi dijangka menjelang suku keempat 2026," tambah kumpulan berkenaan.
Pemegang saham yang layak mengundi perlu berdaftar dalam rekod deposit mesyuarat berkenaan pada 9 September 2026, manakala kedua-dua resolusi akan diputuskan melalui proses pengundian. - DagangNews.com






