Tunai bersih Frontken kekal kukuh selepas beli hartanah RM118.2 juta di Taiwan – JF Apex Securities

Business & FinanceProperty
17 Sep 2026 • 11:02 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tunai bersih Frontken kekal kukuh selepas beli hartanah RM118.2 juta di Taiwan – JF Apex Securities Image from: Tunai bersih Frontken kekal kukuh selepas beli hartanah RM118.2 juta di Taiwan – JF Apex Securities hamden17/09/2026 - 11:02 Oleh Hamden Ramli editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Sept - Pengambilalihan hartanah perindustrian bernilai RM118.2 juta oleh anak syarikat Taiwan, Advanced Gas & Technology Corp (AGTC), dijangka tidak memberi tekanan kepada fleksibiliti kewangan Frontken Corporation Bhd (Frontken), menurut JF Apex Securities.

 

Firma itu berkata, transaksi berkenaan mampu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman AGTC tanpa memerlukan pinjaman luaran.

 

Malah, Frontken dijangka kekal mempunyai kedudukan tunai bersih yang kukuh selepas pengambilalihan tersebut.

 

"Jumlah RM118.2 juta itu mampu ditanggung berdasarkan kedudukan kewangan Frontken dan kami tidak melihat pengambilalihan itu memberi tekanan kepada fleksibiliti kewangan kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan.

 

Menurut firma itu, perbelanjaan berkenaan hanya mewakili 10.2% daripada ekuiti pemegang saham FY26F sebanyak RM1.15 bilion dan kira-kira 53.5% daripada aliran tunai operasi FY26F sebanyak RM221 juta.

 

Deposit awal sebanyak NTD82 juta (RM10.5 juta) pula bersamaan hanya 4.8% daripada aliran tunai operasi FY26F, manakala baki bayaran akan dibuat dalam tiga ansuran.

 

JF Apex Securities menganggarkan, selepas membiayai bahagian transaksi FY26F sebanyak RM82.3 juta, Frontken masih mempunyai baki tunai dan bank sebanyak RM386 juta.

 

Jumlah itu meningkat kepada RM567.4 juta termasuk deposit tetap, berbanding masing-masing RM468.3 juta dan RM649.8 juta sekiranya pengambilalihan tidak diteruskan.

 

"Frontken juga tidak mempunyai hutang jangka pendek dan jangka panjang sepanjang tempoh unjuran FY24F hingga FY28F. Justeru, kumpulan kekal mempunyai kedudukan tunai bersih yang kukuh sepanjang tempoh tersebut," katanya.

 

Pengambilalihan tambah kapasiti di Taiwan

JF Apex Securities melihat pengambilalihan hartanah berkenaan terletak kira-kira 950 meter dari kemudahan P1 sedia ada AGTC secara positif sebagai pelaburan yang membolehkan peningkatan kapasiti, khususnya bagi menyokong jangkaan pengembangan kapasiti pelanggan faundri utama AGTC.

 

Harga pembelian itu bersamaan kira-kira NTD56,900 bagi setiap meter persegi tanah, termasuk tujuh bangunan kilang sedia ada dan sistem solar.

 

Berbanding dua transaksi tanah perindustrian Jenis B terbaharu di taman yang sama pada November dan Disember 2025, harga AGTC masing-masing 12.5% dan 16.1% lebih tinggi.

 

Firma itu berkata premium tersebut munasabah memandangkan transaksi turut merangkumi bangunan kilang sedia ada serta kapasiti solar yang telah dipasang.

 

Dari segi pendapatan, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran keuntungan bersih teras FY26F, FY27F dan FY28F masing-masing pada RM197.3 juta, RM206.8 juta dan RM217.4 juta.

 

Saranan BELI terhadap Frontken turut dikekalkan dengan harga sasaran RM5.86, berdasarkan P/E 46.2 kali yang digunakan ke atas EPS teras FY27F sebanyak 12.7 sen.

 

Penilaian Frontken terus disokong oleh keterlihatan pendapatan pelbagai tahun daripada peningkatan pengeluaran cip nod termaju oleh pelanggan faundri utamanya di Taiwan, pertumbuhan permintaan semikonduktor dipacu AI serta kedudukan tunai bersih yang kukuh. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved