Eizlan Yusof sangkal persepsi wujud adegan ‘panas’ ekstrem

EntertainmentMovie
28 Aug 2026 • 10:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Eizlan Yusof sangkal persepsi wujud adegan ‘panas’ ekstrem

SEBUAH naskhah yang mengangkat isu tabu, terutamanya yang memaparkan eksplorasi seksual bukan hanya mempunyai cabaran berhubung respons penonton, malah menguji keberanian seseorang pelakon menjayakan adegan berkenaan.

 Pelakon, Datuk Eizlan Yusof berkata, tidak wajar isu adegan kurang selesa berkenaan manipulasi, pengantun seksual atau ‘child grooming’ dalam drama Cela terlalu diperbesarkan sedangkan katanya, kita pernah menyaksikan adegan panas yang lebih ekstrem dalam sejarah naskhah lakon layar negara sebelum ini. 

Eizlan, 55, mengimbau kenangannya melakonkan naskhah Perempuan Melayu Terakhir dan Panas yang memintanya untuk tampil tidak mengenakan pakaian, sekadar berseluar dalam untuk menjayakan naskhah tersebut. Malah ketika itu, terdapat juga paparan adegan memuaskan nafsu mandiri yang tidak semua pelakon mahu melakukannya kecuali Erma Fatima dan Aleeza Kasim.

Mengulas lanjut, Panas menjadi antara filem terawal yang mendapat klasifikasi tayangan 18SX memaparkan kisah perkahwinan antara ayah dan anak angkat. Bagaimanapun dua filem itu berjaya menobatkan Eizlan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 1998 dan Pelakon Lelaki Harapan menerusi filem Perempuan Melayu Terakhir di Festival Filem Malaysia ke-14.

“Tidak semua pelakon berani, saya ketika itu hanya pakai seluar dalam sahaja untuk masuk ke dalam sauna. Sebagai pelakon itu tanggungjawab kita. 

“Tapi kita tahu ini naskhah Melayu, masih ada batasannya. Apalagi ketika ini saya merasakan adegan dalam drama Cela bukanlah sesuatu yang ekstrem seperti dikatakan beberapa pihak. Mungkin dalam fikiran mereka sahaja sedangkan visualnya tidak ada yang melampau.

“Kekuatan sebenar Cela ada pada jalan ceritanya, jika masalah pelakon seksi juga adegan tertentu diperbesar sehingga ada yang kata ‘biar betul cerita Melayu boleh sampai tahap ini’, kita tidak sampai pun ekstrem macam cerita dahulu dan masih lagi menjaga batasan.

“Karakter saya dalam drama ini sebagai Datuk Arshad ada perempuan simpanan, tidak perlu sampai berasmara keterlaluan sebab penonton bijak untuk faham,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambah Eizlan, sebagai pengkarya dia tidak boleh mengawal respons dan kecaman yang dibangkitkan penonton yang kurang senang dengan beberapa adegan dipaparkan. Bagaimanapun, dia percaya, isu yang cuba dibincangkan dalam naskhah ini jauh lebih penting agar dapat membuka mata masyarakat mengenai manipulasi khususnya membabitkan budak bawah umur.

“Biasalah ada yang boleh terima ada yang tidak. Kita tidak boleh puaskan hati semua orang. Tapi sebagai pengkarya, pelakon dalam dunia seni kreatif, tugas kami adalah untuk melaksanakan amanah yang sudah tertulis dalam skrip sama seperti pengalaman saya menjayakan Panas dan Perempuan Melayu Terakhir.

“Jadi, berbalik kepada penonton bagaimana mahu memberi interpretasi. Seksinya cerita ini hanya pada imaginasi sahaja kerana kekuatan gaya berceritanya sudah kuat. 

“Kita juga tidak boleh kata perkara ini tidak berlaku dalam masyarakat sebab benda ini memang bukan satu benda yang asing. Cuma kita sebagai orang Melayu Islam simpan,  tidak mahu lebih terbuka.

“Cuma saya mengharapkan apabila penonton tengok nanti, dia boleh terima seadanya, tapi jangan tengok dari satu sudut saja. Kena tengok dari segi keseluruhan jalan cerita, persembahan pelakon dan semuanya,” katanya. 

Bukan itu sahaja, Eizlan juga  berkongsi bahawa pelakon tidak hanya bertanggungjawab menyelesaikan naskhah tetapi juga menghadapi tentangan yang mungkin terjadi sekiranya sesuatu naskhah kontroversi itu ditayangkan.

“Bila kita melakonkan naskhah di luar kebiasaan, kita memang akan mendapat tentangan. Ketika perkara itu terjadi, sudah tentu kita terkilan sebab pelakon memang mahu karyanya disambut baik orang ramai.

“Kalau orang tak hargai dan ‘bambu’ kita, itupun kena terima. Semua ini hanyalah rencah dalam situasi yang biasa kita hadapi sebagai pelakon,” katanya.

Terdahulu, beberapa adegan sumbang dan menggoda drama Cela melibatkan karakter Kaer, Datuk Anees dan Datuk Arshad dikritik kerana dianggap ekstrem sekali gus didakwa memberi contoh tidak baik kepada anak muda di kemudian hari.

Cela mengisahkan lelaki 17 tahun, Kaer yang mencari ketenangan selepas kematian bapanya. Dia kemudian bertemu dengan Datuk Anees yang menawarkan kemewahan, namun ia membawa kepada terbongkarnya pelbagai rahsia dalam perkahwinanya bersama Datuk Arshad.

Drama 12 episod ini dibintangi oleh Nabila Huda, Hun Haqeem, dan Zarif Ghazzi, serta disiarkan di platform Viu yang mendapat respons pelbagai sejak mula ditayangkan sejak minggu lalu.

The post Eizlan Yusof sangkal persepsi wujud adegan ‘panas’ ekstrem appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved