
BERGELAR anak seni tidak menghalang seorang pelakon untuk terus memperjuangkan pegangan politik yang diyakininya, meskipun perjalanan itu menyaksikan beliau melalui beberapa fasa sebelum akhirnya memilih Pas sebagai wadah perjuangan.
Mengimbau perjalanan politiknya, Datuk Eizlan Yusof, 54, berkata, beliau pernah bersama UMNO dalam tempoh yang lama sebelum membuat keputusan meninggalkan parti berkenaan susulan beberapa isu yang berlaku.
Katanya, selepas itu beliau memilih untuk bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di bawah Gerakan Tanah Air (GTA) dan Parti Pejuang Tanah Air.
“Apabila berlaku beberapa isu, saya mengambil keputusan melangkah untuk bersama Tun Mahathir di bawah Gerakan Tanah Air dan Pejuang.
“Selepas itu, apabila Tun berhasrat menubuhkan payung besar yang tidak terlalu politikal, pada masa sama saya masih aktif politik ketika itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pernah membintangi filem Perempuan Melayu Terakhir pada 1999, Eizlan berkata, walaupun ketika itu hala tuju politik Tan Sri Annuar Musa belum begitu jelas selepas dipecat daripada UMNO, beliau tetap memilih untuk berdiri di belakang tokoh politik tersebut menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional.
Enam bulan kemudian, katanya, apabila bekas Ahli Parlimen Ketereh itu mengambil keputusan menyertai Pas, beliau turut melakukan perkara sama dan kekal bersama parti itu sehingga hari ini.
Ditanya sama ada mudah menyesuaikan diri dalam Pas, pengarah dan penerbit itu mengakui tanggapannya terhadap parti tersebut pada awalnya tidak begitu positif.
“Orang kata tak kenal maka tak cinta. Saya pada mulanya agak skeptikal kerana sudah lama berada dalam UMNO. Tetapi apabila melihat dasar perjuangan, saya merasakan perjuangan UMNO dan Pas sebenarnya selari.
“Pas sebenarnya sangat ‘lenient’ dan bersedia menerima semua lapisan masyarakat. Kita boleh lihat ramai golongan profesional dalam parti itu. Contohnya, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Bagi saya, PAS ialah sebuah parti Melayu-Islam yang begitu konsisten dengan perjuangannya,” katanya.
Eizlan yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan Muafakat Nasional (MN) itu turut menegaskan pendiriannya yang tidak bersetuju untuk bekerjasama dengan DAP menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan politiknya.
“Dalam dunia politik, saya tidak boleh menerima DAP. Itu memang prinsip perjuangan saya. Sebab itu jika perlu bersama DAP, saya agak tidak selesa,” ujarnya.
Mengulas persepsi segelintir masyarakat terhadap PAS, pelakon itu berkata, parti berkenaan sebenarnya lebih terbuka daripada apa yang disangka.
Beliau mengakui persepsinya terhadap PAS berubah selepas melihat sendiri cara parti itu digerakkan. Daripada skeptikal, beliau akhirnya mendapat gambaran lebih jelas terhadap organisasi parti itu.
“Organisasi Pas sangat tersusun. Setiap peringkat mempunyai peranan masing-masing dan akar umbinya juga sangat bersatu apabila digerakkan,” katanya.
BUKAN TAGIH POPULARITI
Sebagai seorang anak seni, beliau berkata, penglibatannya dalam politik bukan didorong faktor populariti, sebaliknya berasaskan prinsip yang dipegang sejak sekian lama.
Beliau pada masa sama berharap agenda penyatuan umman dapat direaliasikan melalui Kerjasama antara parti-parti Melayu.
“Prinsip perjuangan saya dalam politik ialah agama, bangsa dan tanah air. Agama adalah keutamaan, sebab itu saya rasa Pas ialah parti yang sesuai dengan saya,
“Saya mengharapkan penyatuan ummah dapat berlaku. Kita dapat lihat kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN), termasuk Pas dan UMNO. Kita harap penyatuan ini boleh direalisasikan.
“Kita mahu mengembalikan kuasa orang Melayu untuk memerintah negara tanpa menidakkan hak bangsa-bangsa lain,” katanya.
KARIER SENI
Menyentuh soal kerjaya seni yang mungkin terkesan dengan pendirian politiknya, pelakon itu berkata, beliau menerima segala kemungkinan yang datang bersama pilihannya.
“Saya seorang yang berprinsip. Apabila kita sudah memilih jalan untuk berpolitik, kita perlu berpegang pada prinsip perjuangan.
“Kalau ditakdirkan perjuangan politik saya sesuai dengan Pas dan ketika ini Pas berada di kerusi pembangkang, saya reda, saya terima dan saya akan teruskan perjuangan,” katanya.
The post Pernah skeptikal, Eizlan Yusof serasi dengan politik appeared first on Utusan Malaysia.




