Subway mahu tambah 50 restoran setahun selepas cecah 400 cawangan di Malaysia

LocalFood
15 Oct 2026 • 5:16 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Subway mahu tambah 50 restoran setahun selepas cecah 400 cawangan di Malaysia Image from: Subway mahu tambah 50 restoran setahun selepas cecah 400 cawangan di Malaysia sarah15/10/2026 - 17:16 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Subway Malaysia menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 50 restoran baharu setiap tahun selepas mengembangkan rangkaiannya kepada 400 cawangan di seluruh negara, termasuk restoran pertamanya di Stesen MRT Bukit Bintang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pegacorn yang merupakan pemegang francais induk Subway Malaysia, Kon Kin Siong berkata, syarikat itu telah mempercepatkan pengembangan rangkaiannya sejak 2020, dengan 189 restoran baharu dibuka antara 2021 hingga 2026, mewakili hampir separuh daripada keseluruhan cawangan sedia ada.

 

"Kami kekal komited untuk membuka sekurang-kurangnya 50 restoran baharu setiap tahun agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati sajian segar yang disediakan mengikut pesanan, berdekatan dengan tempat tinggal, tempat kerja dan destinasi perjalanan mereka," katanya dalam kenyataan.

 

Menurutnya, model francais induk membolehkan Subway berkembang lebih pantas dan menyesuaikan operasi mengikut keperluan pasaran tempatan, termasuk menerusi restoran konvensional, kios, pandu lalu serta lokasi transit awam.

 

sub

 

Sejak membuka restoran pertamanya di Ampang Point pada 1999, Subway Malaysia kini mempunyai 400 restoran merentasi semua negeri dan 108 bandar, disokong oleh 85 francaisi utama serta lebih 2,400 pekerja di seluruh negara, termasuk Malaysia Timur.

 

Rangkaian itu turut menggunakan kira-kira 73% ramuan daripada sumber tempatan, sekali gus menunjukkan peranan pembekal domestik dalam menyokong operasi dan pengembangan perniagaannya di Malaysia.

 

Pembukaan restoran ke-400 di MRT Bukit Bintang menandakan kemasukan pertama Subway ke dalam stesen MRT, selepas sebelum ini mengembangkan operasi menerusi pelbagai format termasuk Subway Alam Damai, yang merupakan restoran Subway terbesar dari segi keluasan di Asia Pasifik.

 

Dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan, Subway Malaysia turut memperkenalkan kios pesanan layan diri di restoran terpilih bagi mempercepatkan proses pembelian, selain merancang memperkenalkan program kesetiaan pelanggan untuk menggalakkan pembelian berulang.

 

Bagi meraikan pencapaian 400 restoran itu, Subway menganjurkan aktiviti pemasangan susun suai gambar gergasi berbentuk sandwic di MRT Bukit Bintang yang melibatkan 400 peserta, selain menawarkan hadiah khas termasuk 400 keping biskut Subway kepada seorang pemenang bertuah untuk ditebus sepanjang 2027. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved