liza28/08/2026 - 14:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos – Farm Fresh Berhad mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 17.6% kepada RM306.4 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (Q1FY2027), disokong oleh peningkatan jualan di Malaysia serta pertumbuhan eksport ke Kemboja dan Filipina.
Pada asas suku ke suku, prestasi kumpulan turut menunjukkan peningkatan apabila keuntungan selepas cukai naik 6.4% kepada RM26.8 juta berbanding RM25.2 juta pada suku sebelumnya.
Keuntungan sebelum cukai juga meningkat 8.4% kepada RM30.7 juta daripada RM28.3 juta, manakala hasil bertambah 11.5% dan keuntungan kasar meningkat 7.2%.
Peningkatan prestasi suku ke suku itu didorong oleh pemulihan segmen hotel, restoran dan katering (HORECA) serta ais krim selepas terjejas oleh faktor bermusim bulan Ramadan pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026.
Bagaimanapun, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, keuntungan selepas cukai susut 19.3%, manakala keuntungan sebelum cukai menurun 14.8% berikutan peningkatan kos pengedaran, gaji dan perbelanjaan kewangan.
Jualan Malaysia Dan Pasaran Serantau Kukuh
Pertumbuhan hasil kumpulan disokong oleh peningkatan jualan di Malaysia, khususnya menerusi pasar mini dan perdagangan elektronik (e-dagang).
Peningkatan eksport ke Kemboja serta jualan yang lebih baik di Filipina turut menyumbang kepada pertumbuhan hasil Farm Fresh.
Keuntungan kasar meningkat 8.2% kepada RM93.6 juta berbanding RM86.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Farm Fresh berkata, kos pengedaran meningkat selaras dengan pertambahan eksport ke Kemboja dan Filipina, manakala kenaikan kos gaji berpunca daripada peningkatan jumlah tenaga kerja kumpulan.
“Selain itu, perbelanjaan kewangan yang lebih tinggi susulan pengeluaran dana daripada program sukuk turut memberi kesan kepada keuntungan bagi suku berkenaan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Langkah Kurangkan Kos Dan Tingkatkan Kecekapan
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata syarikat terus melaksanakan langkah proaktif bagi mengurangkan kesan kenaikan kos bahan mentah dan operasi.
“Antaranya termasuk pelarasan harga secara terpilih, mendapatkan sumber bekalan alternatif serta melaksanakan inisiatif meningkatkan kecekapan operasi,” katanya.
Kumpulan turut menaikkan harga kira-kira 3% bagi produk terpilih menggunakan botol plastik di Malaysia dan 10% di Singapura yang membantu mengurangkan kesan peningkatan kos pada suku-suku akan datang.
Farm Fresh juga mula menggunakan gas asli cecair (LNG) di ladangnya di Muadzam Shah bagi menggantikan diesel, yang dijangka mengurangkan kira-kira separuh kos bahan apinya.
Langkah itu dianggarkan menjimatkan antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun bergantung kepada harga pasaran diesel, selain membantu mengurangkan pencemaran dan pelepasan gas rumah hijau.
Pengembangan Serantau Dan Kapasiti Baharu
Sementara itu, jualan eksport Farm Fresh ke Kemboja terus berkembang sejak eksport bermula pada Ogos 2025 dan kini telah melepasi eksport kumpulan ke Singapura.
Kilang Farm Fresh di Kemboja dijangka mula beroperasi pada Oktober 2026 bagi membolehkan kumpulan itu meluaskan penawaran produk susu jangka hayat panjang (UHT) di Kemboja dan rantau Indochina dengan lebih cekap dari segi kos.
Di Malaysia, kilang baharu di Bandar Enstek kini berada di peringkat akhir pembangunan yang akan meningkatkan kapasiti pengeluaran ais krim serta membolehkan Farm Fresh memperkenalkan lebih banyak produk baharu.
Farm Fresh berkata, pengembangan operasi serantau, peningkatan kapasiti pengeluaran dan peluasan portfolio produk akan terus memperkukuh prospek pertumbuhan jangka panjang kumpulan. - DagangNews.com





