Hasil Avaland melonjak 41 peratus, Aetas Seputeh dan Amika Residences habis dijual

Business & FinanceProperty
28 Aug 2026 • 5:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hasil Avaland melonjak 41 peratus, Aetas Seputeh dan Amika Residences habis dijual

PETALING JAYA: Avaland Berhad mencatatkan peningkatan prestasi kewangan bagi suku kedua tahun kewangan 2026 , dengan hasil melonjak 41 peratus secara suku ke suku kepada RM174.3 juta berbanding RM149.4 juta pada suku sebelumnya.

Pemaju hartanah itu merekodkan keuntungan bersih RM17.1 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2026, meningkat daripada RM12.1 juta pada suku pertama TK2026.

Avaland berkata prestasi lebih baik itu disumbangkan kemajuan pembinaan yang lebih tinggi bagi projek pembangunan yang sedang berjalan serta sumbangan daripada projek yang baru dilancarkan sepanjang suku berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Avaland, Apollo Bello Tanco (Pol), berkata momentum jualan kumpulan terus kukuh pada S2 TK2026 apabila jualan baharu meningkat 46 peratus secara suku ke suku kepada RM222.4 juta berbanding RM152.3 juta pada suku sebelumnya.

Katanya, prestasi jualan berkenaan disokong sumbangan daripada projek kediaman bertanah yang baru dilancarkan, mencerminkan permintaan berterusan terhadap produk hartanah yang ditawarkan kumpulan.

“Pengambilan penuh bagi Aetas Seputeh dan Amika Residences, yang masing-masing mencapai jualan 100 peratus kira-kira dua tahun selepas dilancarkan pada 2024, mencerminkan permintaan yang berterusan terhadap pembangunan kami.

“Portfolio premium kumpulan juga terus mencatatkan sumbangan jualan yang sihat sepanjang suku berkenaan, sekali gus menyokong prestasi jualan keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 30 Jun 2026, jualan belum dibilkan Avaland meningkat empat peratus kepada RM941.1 juta berbanding 31 Mac 2026.

Kedudukan jualan belum dibilkan yang kukuh itu memberikan keterlihatan terhadap pendapatan kumpulan dalam tempoh sederhana.

Mengulas prospek, Pol berkata, Avaland terus memberi tumpuan kepada pengukuhan saluran pembangunan menerusi pemerolehan tanah strategik dan pelancaran projek baharu.

Dalam suku berkenaan, kumpulan memperoleh sebidang tanah pegangan bebas seluas 1.9 ekar di Taman U-Thant, Kuala Lumpur, yang dirancang untuk pembangunan kediaman mewah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM700 juta.

Pemerolehan itu dijangka memperkukuh portfolio kediaman mewah Avaland selain mengembangkan lagi kehadirannya di Lembah Klang.

Bagi 2026, kumpulan berada di landasan untuk melaksanakan rancangan pelancaran projek merentasi tiga siri portfolio dengan gabungan GDV melebihi RM1 bilion.

Selepas pelancaran pembangunan kediaman bertanah dan komersial di bawah siri AVA Ria, Avaland merancang melancarkan ACCENT Petaling Jaya di bawah siri AVA Prime serta Aetas Taman Desa di bawah siri AVA Luxe pada separuh kedua 2026.

Pelancaran berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan pada masa akan datang.

Avaland berkata, prospek pasaran hartanah kekal positif secara berhati-hati, disokong persekitaran pembiayaan domestik yang stabil.

Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada Julai 2026, manakala keadaan ekonomi domestik kekal menyokong aktiviti pasaran.

Bagaimanapun, kemampuan memiliki rumah serta kapasiti pembiayaan pembeli kekal menjadi pertimbangan penting merentasi segmen pasaran.

Kumpulan kekal optimistik secara berhati-hati terhadap prospek perniagaan, disokong permintaan terhadap pembangunan yang mempunyai lokasi strategik serta saluran pelancaran projek yang dirancang.

Avaland kini mempunyai bank tanah kira-kira 189 ekar dengan anggaran GDV sebanyak RM12.3 bilion, yang dilihat mampu menyokong pertumbuhan jangka panjang serta memberikan keterlihatan pendapatan kumpulan.

Pada masa sama, kumpulan kekal berwaspada terhadap ketidaktentuan ekonomi global termasuk ketegangan geopolitik, turun naik harga tenaga dan potensi gangguan rantaian bekalan.

Avaland berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan berkenaan serta menilai kemungkinan kesannya terhadap operasi dan prestasi kewangan kumpulan.-UTUSAN

 

The post Hasil Avaland melonjak 41 peratus, Aetas Seputeh dan Amika Residences habis dijual appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved