amree19/11/2026 - 11:20 BANGUNAN Sultan Ismail yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Johor di Iskandar Puteri. - Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov — Johor menyasarkan kutipan hasil negeri melepasi RM3 bilion buat kali pertama dalam sejarah menjelang akhir 2026, sekali gus membuka ruang kepada peruntukan pembangunan dan bantuan rakyat yang lebih besar menerusi Belanjawan Johor 2027 berjumlah RM3.07 bilion.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sebanyak RM1.53 bilion atau hampir separuh daripada keseluruhan peruntukan belanjawan tersebut bakal disediakan kerajaan negeri berkenaan bagi membiayai pelbagai projek pembangunan yang dirancang sepanjang tahun depan.
Beliau menambah, Belanjawan Johor 2027 yang bertemakan 'Johor Maju, Rakyat Sejahtera' itu turut menggariskan sejumlah 284 komitmen di bawah enam teras utama kerangka Johor Maju, dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan kesejahteraan rakyat.
"Antara kumpulan sasaran yang akan diberi perhatian termasuk isi rumah berpendapatan B40 dan M40, usahawan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), petani serta sektor pertanian," katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, pada Khamis.
Menurut Onn Hafiz lagi, kerajaan negeri berkenaan turut komited menyalurkan segala hasil yang semakin meningkat tersebut bagi memperluaskan bantuan kepada golongan rentan termasuk keluarga miskin, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas di seluruh Johor.
Pada masa sama tambah beliau yang juga merupakan ADUN Machap, kerajaan negeri tersebut akan terus memastikan pelbagai bantuan dan khidmat diberikan terus kepada seluruh Bangsa Johor tanpa mengira latar belakang sama ada politik, kaum atau agama penduduk berkenaan.

Menyentuh berhubung kedudukan kewangan negeri di selatan Semenanjung Malaysia itu, Johor ujar beliau, mengunjurkan hasil sebanyak RM3.08 bilion berbanding perbelanjaan RM3.07 bilion pada 2027, sekali gus mencatatkan lebihan belanjawan mencecah kira-kira RM2.33 juta.
"Saya turut sukacita memaklumkan kutipan hasil negeri ini sudah mencecah sebanyak RM2.8 bilion setakat pagi Khamis, iaitu bersamaan dengan 110% daripada sasaran asal hasil yang ditetapkan sendiri oleh kerajaan negeri bagi 2026," kata Onn Hafiz.
Berdasarkan kepada prestasi positif tersebut, beliau berkeyakinan tinggi Johor mampu mencatatkan kutipan hasil melebihi RM3 bilion menjelang penghujung tahun ini, pencapaian yang disifatkannya sebagai pertama kali dalam sejarah negeri berkenaan.
Sehubungan itu, kerajaan negeri berharap pelaksanaan 284 komitmen tersebut dapat memastikan kemajuan ekonomi Johor diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup, kesejahteraan dan kemakmuran rakyat secara menyeluruh. - DagangNews.com






