
KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Paras air di 37 daripada 49 empangan utama yang membekalkan sumber air mentah kepada Loji Rawatan Air (LRA) di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan masih berada pada tahap normal ketika negara berdepan fenomena El Nino.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan bahawa dua empangan berada pada tahap waspada, manakala sembilan pada paras amaran dan satu empangan merekodkan tahap kritikal.
Menurut SPAN, dua empangan pada tahap waspada ialah Empangan Jus di Melaka dan Empangan Labong di Johor, manakala empangan yang berada pada tahap kritikal ialah Empangan Sungai Pagar di Labuan.
“Empangan pada tahap amaran pula melibatkan Empangan Muda dan Empangan Ahning di Kedah; Empangan Upper Layang, Empangan Lower Layang, Empangan Lebam, Empangan Gunung Pulai 1, Empangan Gunung Pulai 2 dan Empangan Pontian Kechil di Johor serta Empangan Timah Tasoh di Perlis.
“Empangan Timah Tasoh, yang sebelum ini telah lama berada pada tahap kritikal, kini menunjukkan peningkatan ke tahap amaran susulan sedikit hujan yang diterima serta pelaksanaan pengepaman air dari kolam ke empangan, yang membantu meningkatkan isipadu simpanan air,” menurut kenyataan itu.
SPAN memaklumkan bahawa secara keseluruhannya, kesemua LRA yang dipantau masih beroperasi secara normal. Bagaimanapun, risiko gangguan bekalan air boleh berlaku sekiranya paras empangan terus menunjukkan trend penurunan dari semasa ke semasa.
Sehubungan itu, SPAN bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta semua operator bekalan air yang terlibat telah mengadakan mesyuarat pada 26 Ogos lepas bagi meneliti situasi sumber air mentah serta menyelaras langkah kesiapsiagaan dan mitigasi, khususnya bagi empangan pada tahap waspada, amaran dan kritikal.
Antara langkah yang diberi perhatian termasuk mengoptimumkan penggunaan sumber air mentah, menyelaras pengoperasian empangan dan LRA, mengaktifkan sumber alternatif mengikut keperluan, memantau permintaan bekalan air di kawasan berisiko serta melaksanakan Bekalan Air Berjadual (BAB) sekiranya keadaan sumber air mentah terus merosot.
“Dalam keadaan yang lebih kritikal, sekatan atau pengurangan bekalan air kepada pengguna boleh dipertimbangkan sebagai langkah mengurus permintaan, tertakluk kepada keperluan atau situasi semasa serta kelulusan menteri selaras dengan peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.
“Langkah tersebut hanya akan dipertimbangkan apabila tindakan mitigasi dan pengurusan sumber yang lain tidak lagi mencukupi bagi memastikan tempoh ketahanan sumber air mentah dapat dipanjangkan,” menurut suruhanjaya itu.
SPAN berkata segala tindakan mitigasi akan dilaksanakan secara bersasar berdasarkan keadaan dan tahap risiko di setiap kawasan.
Dalam masa sama, SPAN akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penilaian risiko berdasarkan keadaan cuaca, trend paras empangan, ketersediaan sumber air mentah serta keupayaan operasi sesebuah LRA.




