sarah24/11/2026 - 11:39 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Malaysia berdepan risiko kenaikan harga makanan pada 2027 berikutan fenomena El Nino yang semakin kuat, dengan tekanan inflasi makanan dijangka paling ketara pada separuh kedua tahun depan.
BMI, sebuah syarikat di bawah Fitch Solutions, berkata fenomena El Nino 2026/2027 yang bermula pada Jun lalu berisiko menjejaskan pengeluaran komoditi pertanian utama di Asia Tenggara, termasuk beras, minyak sawit, gula dan kopi.
Menurut firma penyelidikan itu, berdasarkan pengalaman beberapa negara ekonomi sedang pesat membangun, inflasi makanan secara purata meningkat sekitar satu mata peratusan selepas tiga bulan berlakunya kemarau ekstrem, sebelum meningkat antara 1.8 hingga 2.5 mata peratusan selepas sembilan hingga 12 bulan.
Dengan keadaan kemarau dijangka memuncak pada awal 2027, BMI menjangkakan tekanan terhadap harga makanan menjadi semakin ketara pada separuh kedua tahun berkenaan, sekali gus menjejaskan kuasa beli isi rumah dan merumitkan pelaksanaan dasar monetari.
Bekalan beras dan minyak sawit berdepan risiko
BMI berkata, kedudukan stok makanan yang lebih rendah di beberapa negara Asia Tenggara meningkatkan risiko gangguan bekalan, khususnya melibatkan beras, minyak sawit dan kopi.
Stok beras di Thailand, Vietnam dan Filipina kini berada di bawah paras 2023, manakala stok minyak sawit Indonesia dan kopi robusta Vietnam masing-masing hanya bersamaan 9% dan 2% daripada jumlah penggunaan.
Bagaimanapun, berdasarkan carta BMI, kedudukan stok minyak sawit Malaysia secara relatifnya lebih baik berbanding Indonesia, iaitu bersamaan 13% daripada jumlah penggunaan domestik dan eksport, selain lebih tinggi berbanding paras sebelum El Nino 2023/2024.
Risiko kenaikan mendadak harga beras seperti yang berlaku pada 2023/2024 juga dijangka dapat dikurangkan berikutan kedudukan bekalan global yang lebih kukuh, khususnya India yang kini menyumbang 39% daripada eksport beras dunia.
India mempunyai stok beras pada paras tertinggi, bersamaan 47% daripada penggunaan domestiknya berbanding 30% sebelum El Nino 2023/2024, sekali gus mengurangkan kemungkinan negara itu mengenakan sekatan eksport yang ketat.
Harga elektrik turut berisiko meningkat
Selain makanan, BMI menjangkakan El Nino turut meningkatkan kos penjanaan elektrik di negara yang banyak bergantung kepada tenaga hidro, apabila pengurangan bekalan air memaksa syarikat utiliti beralih kepada sumber tenaga alternatif yang lebih mahal.
Colombia, Zambia dan Honduras dikenal pasti sebagai negara yang paling terdedah kepada tekanan berganda akibat kenaikan harga makanan dan elektrik, dengan kesannya berpotensi berlanjutan sehingga 2028.
Bagaimanapun, bagi Malaysia, BMI berpandangan risiko inflasi akibat El Nino lebih tertumpu kepada kenaikan harga makanan berbanding elektrik, sekali gus menjadikan bekalan komoditi pertanian sebagai antara faktor penting yang perlu diberi perhatian menjelang 2027.- DagangNews.com




