SD Guthrie umum dividen interim kedua 11.5 sen sesaham dibayar 28 Januari 2027

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 2:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SD Guthrie umum dividen interim kedua 11.5 sen sesaham dibayar 28 Januari 2027 Image from: SD Guthrie umum dividen interim kedua 11.5 sen sesaham dibayar 28 Januari 2027 sarah24/11/2026 - 14:43 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - SD Guthrie Berhad mengumumkan dividen interim kedua sebanyak 11.5 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY26), yang akan dibayar kepada pemegang saham pada 28 Januari 2027.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan perladangan itu menetapkan 13 Januari 2027 sebagai tarikh tanpa kelayakan dividen, manakala tarikh kelayakan ditetapkan pada 14 Januari 2027.

 

Buku pindah milik saham dan daftar pemegang saham syarikat akan ditutup dari 13 hingga 14 Januari 2027 bagi menentukan kelayakan penerima dividen berkenaan.

 

Menurut laporan The Edge, pengumuman dividen di luar jadual pengumuman keputusan kewangan kumpulan itu mencerminkan keupayaan SD Guthrie menjana tunai, kedudukan kewangan yang kukuh serta pengurusan modal secara berdisiplin.

 

Pengumuman terbaharu itu menjadikan jumlah dividen interim SD Guthrie bagi FY26 sebanyak 22.68 sen sesaham selepas pembayaran dividen interim pertama sebanyak 11.18 sen sesaham.

 

Jumlah tersebut sudah melebihi keseluruhan dividen sebanyak 18.1 sen sesaham bagi FY25, sekali gus mencatatkan peningkatan 25.3% walaupun keputusan kewangan setahun penuh FY26 belum diumumkan.

 

Keuntungan bersih sembilan bulan cecah RM2.32 bilion

Terdahulu, pada 5 November 2026, DagangNews.com melaporkan keuntungan bersih SD Guthrie bagi sembilan bulan pertama FY26 meningkat kepada RM2.32 bilion berbanding RM2 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil menyusut kepada RM15.03 bilion daripada RM15.4 bilion.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih bagi suku ketiga FY26 merosot 17% kepada RM773 juta berbanding RM935 juta, susulan sumbangan keuntungan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan perindustrian serta operasi pertengahan dan hiliran.

 

Sebaliknya, keuntungan sebelum cukai segmen huluan meningkat 48% kepada RM935 juta, disokong peningkatan harga jualan minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit serta pertumbuhan pengeluaran buah tandan segar (BTS).

 

Penjualan tanah sokong prospek keuntungan

Pada 6 November 2026, DagangNews.com turut melaporkan SD Guthrie dijangka memperoleh sumbangan pendapatan tambahan daripada tiga transaksi penjualan tanah melibatkan kawasan seluas 641.47 hektar pada suku keempat FY26.

 

Susulan perkembangan tersebut, RHB Research menaikkan anggaran sumbangan keuntungan sebelum faedah dan cukai daripada penjualan tanah SD Guthrie kepada RM1 bilion bagi FY26.

 

Segmen pembangunan perindustrian semakin memainkan peranan penting dalam pertumbuhan kumpulan selepas mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai sebanyak RM770 juta bagi sembilan bulan pertama FY26.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved