Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1% pada 2027, ringgit mengukuh kepada RM4.02 - S&P Global

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 4:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1% pada 2027, ringgit mengukuh kepada RM4.02 - S&P Global Image from: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1% pada 2027, ringgit mengukuh kepada RM4.02 - S&P Global sarah23/11/2026 - 16:25 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov - Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.1% pada 2027 berbanding 5.5% tahun ini, disokong permintaan kukuh terhadap eksport teknologi dan pelaburan pusat data, menurut S&P Global Ratings.

 

Agensi penarafan kredit itu turut menjangkakan ringgit mengukuh kepada RM4.02 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir 2027, berbanding unjuran RM4.05 pada akhir 2026, ketika ekonomi negara terus mendapat manfaat daripada perkembangan industri kecerdasan buatan (AI).

 

Dalam laporan 'Economic Outlook Asia-Pacific Q1 2027: Staying Strong', S&P Global mengekalkan unjuran pertumbuhan Malaysia meskipun ekonomi serantau berdepan tekanan harga tenaga yang tinggi, peningkatan kadar faedah global dan kemungkinan pertumbuhan eksport teknologi mula perlahan.

 

Eksport teknologi dan pusat data pacu pelaburan

Menurut S&P Global, peningkatan pelaburan infrastruktur AI di seluruh dunia terus merangsang permintaan terhadap produk teknologi dari Malaysia, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

 

Malaysia juga merupakan antara ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan pelaburan kukuh pada suku ketiga 2026, apabila peningkatan eksport teknologi mula mendorong lebih banyak aktiviti pelaburan domestik, termasuk pembinaan pusat data.

 

Bagaimanapun, agensi itu menjangkakan pertumbuhan eksport teknologi menghampiri kemuncaknya apabila kadar pelaburan infrastruktur AI di AS dan pasaran lain mula menjadi sederhana, sekali gus berpotensi memperlahankan momentum eksport pada 2027.

 

S&P Global turut memberi amaran bahawa sekatan terbaharu AS terhadap pengguna akhir cip yang dijual kepada negara Asia Tenggara boleh memperlahankan pembangunan pusat data, namun tidak menjangkakan kesan ekonomi yang meluas berikutan jumlah projek yang masih besar di rantau ini.

 

OPR dijangka kekal 2.75% hingga 2029

Bagi dasar monetari, S&P Global menjangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sepanjang 2027, dengan kadar itu diunjurkan tidak berubah sehingga 2029.

 

Kadar inflasi Malaysia pula dijangka meningkat sedikit kepada 1.9% pada 2027 berbanding 1.8% tahun ini, manakala kadar pengangguran diramalkan kekal stabil pada 2.9%.

 

Ketua Ahli Ekonomi Asia Pasifik S&P Global Ratings, Louis Kuijs berkata, harga tenaga yang tinggi akan terus menjadi cabaran ekonomi terbesar rantau ini, sementara pengembangan pelaburan AI global kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, walaupun kedua-dua pengaruh itu dijangka berkurangan pada 2027.

 

Pertumbuhan Malaysia kekal melebihi purata serantau

Bagi keseluruhan Asia Pasifik, S&P Global menjangkakan pertumbuhan ekonomi menyederhana kepada 4.4% pada 2027 daripada 4.8% tahun ini, dengan Malaysia kekal berkembang lebih pantas daripada purata serantau.

 

Vietnam dan India dijangka menerajui pertumbuhan pada 2027, masing-masing pada 7.5% dan 7%, manakala ekonomi China diramalkan berkembang 4.3% berbanding 4.5% pada 2026.

 

S&P Global turut mengenal pasti tiga risiko utama terhadap prospek ekonomi rantau ini, iaitu harga tenaga yang kekal tinggi, kelembapan pelaburan berkaitan AI yang lebih ketara daripada jangkaan serta kenaikan kadar faedah global.

 

Agensi itu menjangkakan harga minyak mentah Brent berpurata AS$85 setong (kira-kira RM342 berdasarkan unjuran kadar RM4.02 sedolar) pada 2027, berbanding AS$97 setong (RM393 berdasarkan unjuran kadar RM4.05 sedolar) bagi tempoh 2026 setakat ini, dengan tekanan kos tenaga terus menjadi faktor penting kepada pertumbuhan dan inflasi serantau.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved