PPS SK Limau Kasturi perlu kemudahan laluan, tandas OKU

22 Sep 2026 • 3:09 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: PPS SK Limau Kasturi perlu kemudahan laluan, tandas OKU

GUA MUSANG – Pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi di sini perlu dinaik taraf dengan menyediakan kemudahan laluan dan tandas khas orang kurang upaya (OKU) bagi memberi keselesaan kepada mangsa banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Gua Musang, Mohd. Roshdi Ismail berkata, keperluan itu dikenal pasti selepas terdapat mangsa OKU dan pesakit kronik yang menggunakan kerusi roda ditempatkan di PPS berkenaan.

Katanya, permohonan untuk menaik taraf PPS itu akan dibuat kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melalui kerajaan negeri dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah, saya sempat meninjau dan bertanya khabar mangsa banjir di PPS ini dan mendapati ada mangsa OKU serta pesakit kronik yang terpaksa menggunakan kerusi roda.

“Jadi, laluan dan tandas OKU kini menjadi satu keperluan di PPS ini apabila mereka terpaksa tinggal lebih lama di PPS. Oleh itu, satu permohonan akan dibuat kepada pihak Nadma melalui kerajaan negeri untuk menaik taraf PPS ini dengan membina laluan dan tandas OKU,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kampung Limau Kasturi, Aluwi Muda berkata, penduduk berharap SK Limau Kasturi dapat dijadikan PPS tetap kerana masih terdapat ruang di kawasan sekolah yang sesuai untuk tujuan berkenaan.

Katanya, cadangan itu sebelum ini pernah disuarakan kepada pihak berwajib kerana melihat kesesuaian kawasan berkenaan.

“Kawasan ini memang memerlukan PPS tetap kerana mangsa banjir menggunakan surau sekolah sebagai PPS ketika ini dan tidak mempunyai kemudahan untuk golongan OKU,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

The post PPS SK Limau Kasturi perlu kemudahan laluan, tandas OKU appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved