
KUALA LUMPUR: Pelakon, Fasha Sandha menitipkan kata-kata semangat kepada adiknya, Elisya Sandha supaya tidak terlalu memikirkan komen negatif susulan kontroversi yang membabitkan drama lakonannya.
Menerusi perkongsian di media sosial, Fasha berkata setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza dan menasihati Elisya supaya mengambil perkara yang boleh dijadikan pengajaran, selain mengetepikan segala perkara negatif.
“Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza. Ambillah apa yang boleh dipelajari, abaikan perkara negatif dan teruskan melangkah, Elisya.
“Jangan biarkan komen negatif membebani hati adik Angah. Berlembutlah dengan diri sendiri, biarkan segala kebisingan itu berlalu dan ingatlah bahawa saat ini juga akan berlalu.
“Saya sentiasa ada untuk awak, sayang awak,” katanya di Threads.
Bagaimanapun, perkongsian Fasha itu turut mengundang pelbagai reaksi warganet yang berpendapat teguran terhadap Elisya perlu diterima sebagai pengajaran dan tidak seharusnya dianggap sekadar sebagai perbezaan pandangan.
Seorang warganet menasihati Elisya supaya mengambil perkara yang berlaku sebagai pengajaran dan lebih berhati-hati dalam memilih watak lakonan selepas ini.
“Kepada Elisya Sandha, semoga awak mengambil apa yang berlaku ini sebagai satu pengajaran. Syukur alhamdulillah, Allah masih menyayangi awak sehingga menghantar orang untuk menegur drama tersebut sehingga akhirnya diturunkan dan dikatakan akan disunting.
“Allah masih peduli terhadap awak. Jadi, saya mahu awak tahu bahawa Allah mahu awak terselamat daripada perkara seperti ini. Berhati-hatilah selepas ini dalam memilih watak lakonan dan jagalah maruah diri, keluarga serta agama,” tulisnya.
Seorang lagi warganet berpendapat kesalahan tetap perlu ditegur dan diperbaiki, selain menegaskan bahawa sokongan tidak seharusnya diberikan terhadap perkara yang dianggap salah.
“Kalau buat salah, tegur. Perbaiki. Jangan sokong perkara yang salah. Memberikan motivasi dan nasihat sudah memadai,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi warganet mempersoalkan penggunaan ungkapan ‘teruskan melangkah’ dalam memberikan sokongan kepada Elisya.
“Bukan teruskan melangkah, sebaliknya yang tepat ialah terus belajar. Kurang sesuai untuk memberikan motivasi dengan mengatakan setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza kerana hukum agama itu lengkap dan jelas. Mana yang halal, haram, dosa dan pahala. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya.
Terdahulu, drama Madu Atau Racun terbitan MIG Production Sdn Bhd di platform penstriman iQIYI yang menampilkan Elisya sebagai salah seorang pelakon mencetuskan perbincangan dalam kalangan penonton sehingga menerima teguran berkaitan kandungan serta isu agama.
Susulan kontroversi berkenaan, drama terbabit dilaporkan diturunkan dan akan melalui proses suntingan.
The post Elisyan, jangan biarkan komen negatif membebani hati – Fasha Sandha appeared first on Utusan Malaysia.






