Elon Musk Terbuka Untuk Apple Menggunakan Grok Dalam Menguasakan Siri

Technology
18 Nov 2025 • 4:34 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

xAI, syarikat memfokuskan kecerdasan buatan milik Elon Musk, hari ini telah pun memperkenalkan model terbaru mereka, Grok 4.1. Ia menawarkan prestasi yang lebih baik, dan kurang berhalusinasi berbanding model sebelumnya.

Selari dengannya, menjawab permintaan pengguna supaya Apple bekerjasama dengan xAI dalam menguasakan Siri, Elon Musk melalui laman X mengatakan terbuka untuk perkara berkenaan.

image is not available

Seperti ramai sedia maklum, Apple Siri dilihat jauh ketinggalan berbanding yang lain dalam arena kecerdasan buatan ini. Malah, pelbagai perkara dijanjikan Apple mengalami penangguhan dan masih belum diperkenalkan. Promosi memfokuskan Apple Intelligence juga turut tidak meluas, memandangkan penawaran Apple tidak setanding yang lain.

Buat masa ini, Apple hanya bekerjasama dengan OpenAI dalam mengintegrasikan ChatGPT pada sistem operasi mereka. Ia turut diperkatakan Apple bekerjasama dengan Google untuk membangunkan model khusus untuk mereka.

Ia tidak diketahui lagi sama ada Apple akan turut mengintegrasikan sokongan Grok pada penawaran mereka, atau sebaliknya. Untuk makluman juga, sebelum ini Elon Musk telah memfailkan saman ke atas Apple dan OpenAI, mengatakan kedua-duanya mengekang dalam persaingan arena AI.