GTA Holdings catat hasil RM123.26 juta bagi suku ketiga, umum dividen pertama 1 sen sesaham

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 2:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GTA Holdings catat hasil RM123.26 juta bagi suku ketiga, umum dividen pertama 1 sen sesaham Image from: GTA Holdings catat hasil RM123.26 juta bagi suku ketiga, umum dividen pertama 1 sen sesaham liza23/11/2026 - 14:15 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov – GTA Holdings Berhad merekodkan hasil sebanyak RM123.26 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), meningkat 126.6% berbanding RM54.39 juta pada suku sebelumnya.

 

Kumpulan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan itu turut mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM14.35 juta, berbanding RM4.03 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata keuntungan kasar kumpulan meningkat kepada RM30.46 juta, dengan margin keuntungan kasar sebanyak 24.7%, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM21.75 juta.

 

“Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2026, GTA Holdings merekodkan hasil RM267.34 juta dan PAT sebanyak RM30.32 juta, dengan margin keuntungan kasar meningkat kepada 23% berbanding 21.5% bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026,” katanya.

 

Jualan peralatan penerbangan, kerja penyelenggaraan pacu hasil

Mengikut pecahan segmen, kerja penyelenggaraan menyumbang hasil tertinggi sebanyak RM53.07 juta pada suku ketiga, diikuti jualan peralatan penerbangan sebanyak RM51.78 juta.

 

Menurut kumpulan, peningkatan hasil suku ketiga didorong terutamanya oleh pengiktirafan hasil berdasarkan pencapaian peringkat bagi satu enjin pesawat sayap tetap baharu di bawah kontrak Floating Stocks dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

 

Peningkatan itu turut disokong penyelesaian kerja penyelenggaraan utama dan penyerahan semula enjin yang dibaik pulih kepada pelanggan utama dalam suku berkenaan.

 

GTA Holdings berkata, prestasi keuntungan turut mendapat manfaat daripada harga pembaikan yang lebih tinggi dipersetujui dengan pelanggan, selain kos bekalan import yang lebih rendah susulan pengukuhan ringgit berbanding euro.

 

Pengurusan tekankan kepercayaan pemegang saham

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif GTA Holdings, Datuk Nonee Ashirin Datuk Mohd Radzi berkata, kemunculan kumpulan sebagai syarikat tersenarai awam menandakan permulaan fasa baharu, namun komitmennya untuk memperoleh dan mengekalkan kepercayaan pemegang saham, pelanggan serta pihak berkepentingan kekal menjadi keutamaan.

 

Menurut beliau, keyakinan bukan dibina melalui janji semata-mata, sebaliknya menerusi prestasi konsisten, pelaksanaan yang berdisiplin, pengurusan modal secara berhemat dan tadbir urus yang telus.

 

“Keutamaan kami adalah menterjemahkan aspirasi pertumbuhan kepada prestasi perniagaan mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham serta melabur secara strategik dalam keupayaan, bakat dan kerjasama yang akan mengukuhkan kedudukan daya saing kami dalam industri aeroangkasa.

 

“Setiap keputusan yang dibuat akan dipandu oleh tujuan yang jelas, iaitu melindungi kepercayaan yang diberikan kepada kami, menyampaikan pertumbuhan secara bertanggungjawab dan membina organisasi yang berdaya tahan serta bersedia menghadapi masa depan, sekali gus mewujudkan nilai berkekalan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

 

Isytihar dividen pertama 1 sen sesaham

Dalam perkembangan berkaitan, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama satu sen sesaham biasa secara satu peringkat, membabitkan jumlah pembayaran kira-kira RM12.91 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Dividen itu akan dibayar pada 30 Disember 2026 kepada pemegang saham yang namanya tercatat dalam Rekod Pendeposit pada 9 Disember 2026.

 

Bagaimanapun, keputusan suku ketiga turut mengambil kira perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah kira-kira RM4.32 juta. Jika perbelanjaan itu dikecualikan bagi tujuan ilustrasi, PAT terlaras kumpulan dianggarkan RM18.67 juta.

 

Buku tempahan RM99 juta, perluas operasi di Shah Alam

Setakat 30 September 2026, GTA Holdings mempunyai buku tempahan belum dibilkan kira-kira RM99 juta, merangkumi baki obligasi prestasi di bawah kontrak Helicopter Engine Availability Support Package (ASP), Floating Stocks dan In-Service Support (ISS), selain pesanan tambahan kerja pembaikan pembetulan daripada pelanggan.

 

Sebahagian besar buku tempahan itu dijangka diselesaikan dalam tempoh 12 bulan akan datang. Kumpulan juga sedang mengusahakan pembaharuan kontrak ISS yang dicadangkan, dengan skop keperluan penyelenggaraan lebih luas untuk MINDEF.

 

Selain itu, perjanjian pengedarannya dengan Safran Helicopter Engines bagi Brunei Darussalam dijangka membantu memperluas pangkalan pelanggan serantau, tertakluk kepada pemenuhan syarat berkaitan.

 

 

 

 

 

 

Pada masa sama, kerja menyiapkan kemudahan operasi baharu kumpulan di Seksyen U8, Shah Alam sedang berjalan bagi menempatkan operasi sedia ada serta menyokong pengembangan perkhidmatan penyelenggaraan set gear pendaratan pesawat komersial.

 

Bagi baki tahun kewangan 2026, kumpulan menjangkakan prestasi disokong pelaksanaan buku tempahan sedia ada, termasuk baki pengebilan di bawah kontrak ASP dan ISS serta pesanan kerja penyelenggaraan pembetulan yang telah diperoleh. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved