AirAsia Group rugi RM381.3 juta pada suku ketiga, hampir satu pertiga pesawat tidak beroperasi

LocalBusiness & Finance
23 Nov 2026 • 5:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AirAsia Group rugi RM381.3 juta pada suku ketiga, hampir satu pertiga pesawat tidak beroperasi Image from: AirAsia Group rugi RM381.3 juta pada suku ketiga, hampir satu pertiga pesawat tidak beroperasi sarah23/11/2026 - 17:18 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Nov -  AirAsia Group Berhad mencatatkan kerugian bersih RM381.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, dipengaruhi kenaikan harga bahan api pesawat dan kerugian pertukaran mata wang asing, ketika hampir satu pertiga daripada keseluruhan armadanya masih tidak beroperasi.

 

Menurut laporan kewangan yang diumumkan kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan penerbangan yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia X Berhad itu mencatatkan pendapatan RM4.66 bilion bagi suku berkenaan, menjadikan jumlah pendapatan sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak RM15.70 bilion.

 

AirAsia menjelaskan bahawa kerugian itu sebahagian besarnya berpunca daripada harga bahan api pesawat yang tinggi susulan ketegangan geopolitik akibat konflik di Asia Barat, selain kerugian bersih pertukaran mata wang asing sebanyak RM141.94 juta.

 

Kerugian pertukaran mata wang itu disebabkan penyusutan nilai mata wang tempatan, termasuk ringgit Malaysia, baht Thailand, rupiah Indonesia dan peso Filipina berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Bagaimanapun, kumpulan masih mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM629.37 juta, manakala kerugian operasi bersih berjumlah RM31.10 juta bagi suku ketiga.

 

Hampir satu pertiga pesawat tidak beroperasi

AirAsia mendedahkan kira-kira 31% daripada keseluruhan 234 pesawat dalam armadanya tidak beroperasi pada akhir September 2026, menyebabkan hanya 162 pesawat aktif ketika kumpulan meneruskan penyusunan semula armada dan pengurusan kapasiti penerbangan.

 

Walaupun kapasiti penerbangan dikurangkan sebanyak 12% berbanding suku sebelumnya, pendapatan kumpulan hanya menyusut 8%, hasil langkah mengawal kapasiti dan menyesuaikan surcaj bahan api bagi mengurangkan tekanan kos.

 

Kumpulan turut mengekalkan kadar pengisian penumpang sebanyak 80% pada suku ketiga, meskipun tambang penerbangan lebih tinggi, sekali gus menunjukkan permintaan perjalanan udara masih bertahan.

 

Selain itu, AirAsia telah memulangkan lapan pesawat lama dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026 dan sedang berusaha mencapai sasaran pemulangan keseluruhan 25 pesawat menjelang akhir tahun bagi mengurangkan kos pajakan serta penyelenggaraan.

 

Laluan tidak menguntungkan terus digantung

AirAsia memaklumkan laluan penerbangan yang tidak menguntungkan akan terus digantung bagi mengelakkan kerugian tambahan, manakala pembukaan semula laluan tertentu akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada keadaan pasaran dan daya maju operasi.

 

Kumpulan juga sedang menggantikan pesawat lama yang menggunakan lebih banyak bahan api dengan pesawat generasi baharu, termasuk persediaan memperkenalkan Airbus A220 bagi menggantikan pesawat A320ceo serta penggunaan A321XLR untuk penerbangan jarak lebih jauh.

 

Bagi suku keempat 2026, AirAsia menjangkakan permintaan perjalanan musim cuti akhir tahun dapat menyokong pemulihan operasi, dengan peningkatan pendapatan bagi setiap unit kapasiti penerbangan dijangka mencapai kadar dua angka.

 

Kerugian sembilan bulan cecah RM1.34 bilion

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, AirAsia Group mencatatkan kerugian bersih RM1.34 bilion, termasuk kerugian pertukaran mata wang asing sebanyak RM705.07 juta, manakala EBITDA berjumlah RM2.08 bilion.

 

Kumpulan mempunyai baki tunai dan bank sebanyak RM905.32 juta setakat akhir September 2026 dan menegaskan bahawa pengurusan aliran tunai, kawalan kos serta pengukuhan kedudukan kewangan kekal menjadi keutamaan menjelang tahun kewangan 2027.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved