
PETALING JAYA: Harga emas mencapai paras tertinggi sejak awal Jun pada Khamis, dengan pakar menganggap kenaikan harga itu didorong antaranya oleh jangkaan penurunan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) dan dolar AS yang semakin lemah.
Sehingga lewat petang semalam, Kontrak Berterusan Emas naik 0.13 peratus kepada AS$4,551.10 seauns (RM591.23 segram), berbanding AS$4,545.30 seauns (RM590.73 segram) pada sesi dagangan akhir Rabu lalu.
Paras tertinggi adalah AS$4,583.80 seauns (RM595.37 segrams)
Harga emas didagangkan agak lembap untuk beberapa bulan kebelakangan ini selepas mencatatkan paras tertinggi sepanjang masa sebanyak AS$5,594 seauns (RM727.58) pada Januari lalu.
Sebelum lonjakan Ogos, emas kebanyakannya terikat antara AS$4,000 seauns (RM519.59 segram) dan AS$4,200 seauns (RM545.57 segram) untuk sebahagian besar musim panas setelah ia keluar dari suku terburuk dalam lebih daripada satu dekad.
Ketua Pegawai Eksekutif Nubex Sdn. Bhd., Mohd Faizal Mohd Nor berkata, tiada satu faktor tunggal yang mendominasi pergerakan harga emas ketika ini, sebaliknya ia dipengaruhi tekanan monetari dan keadaan geopolitik yang berlaku serentak.
“Jangkaan penurunan kadar faedah Fed, pembelian berterusan oleh bank pusat yang cuba mempelbagaikan rizab mereka daripada dolar AS serta ketegangan geopolitik yang berterusan menjadi tiga faktor utama.
“Tiada satu faktor tunggal yang mendominasi. Ia lebih kepada gabungan tekanan monetari dan keadaan geopolitik yang berlaku serentak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, beberapa firma antarabangsa termasuk UBS dan Ventura menjangkakan harga emas berpotensi mencecah AS$4,800 seauns (RM154.32 segram) hingga AS$5,000 seauns (RM649.52 segram) dalam tempoh terdekat, disokong jangkaan pemotongan kadar faedah Fed serta pembelian emas secara berterusan oleh bank pusat.
Mohd Faizal berkata, emas masih berada dalam trend menaik jangka panjang atau secular bull market, yang secara semula jadi turut membawa pembetulan harga di sepanjang perjalanannya.
Beliau berkata, pembetulan harga berpotensi berlaku sekiranya data inflasi AS kembali meningkat, sekali gus mengurangkan kemungkinan kadar faedah Fed dipotong.
Selain itu, katanya, reda secara mendadak ketegangan geopolitik semasa juga boleh memberi tekanan kepada harga emas.
Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ketegangan di Asia Barat serta ketidaktentuan hubungan perdagangan global menyebabkan pelabur meningkatkan perlindungan portfolio terhadap emas sebagai aset selamat.
Selain itu, beliau berkata, jangkaan terhadap kadar faedah AS serta permintaan struktur daripada bank pusat dan pelabur turut menyokong peningkatan harga logam berharga tersebut.
“Dalam jangka pendek, momentum menaik masih ada, tetapi ruang kenaikan tidak bermakna harga akan naik secara berterusan.
“World Gold Council melihat bahawa kejutan geopolitik baharu, ekonomi yang semakin lemah atau perubahan kepada jangkaan kadar faedah yang lebih rendah boleh mencetuskan kenaikan seterusnya.
“Sebaliknya, ekonomi AS yang lebih kukuh, hasil bon yang meningkat dan pasaran yang kembali tenang boleh menyebabkan emas mengalami penurunan,” ujarnya. – UTUSAN
The post Emas capai paras tertinggi dalam tempoh dua bulan appeared first on Utusan Malaysia.






