
PETALING JAYA: Ratu boling padang negara, Emma Firyana Saroji mengakui kecewa selepas gagal menamatkan kempen Sukan Komanwel 2026 dengan kilauan pingat selepas tewas dalam perebutan gangsa acara perseorangan wanita.
Turun dengan reputasi selaku pemain No.1 dunia serta juara Piala Dunia, Emma bagaimanapun gagal memanfaatkan status itu apabila tunduk 0-2 (5-8, 5-8) kepada wakil Norfolk Island, Shea Wilson dalam aksi penentuan tempat ketiga.
Sebelum itu, cabaran atlet berusia 39 tahun tersebut untuk mara ke pentas final turut tersekat selepas dikejutkan pemain Guernsey, Ali Merrien menerusi kekalahan 0-2 (1-11, 5-8) pada saingan separuh akhir.
Emma mengakui kekalahan itu sukar diterima kerana beliau merasakan corak permainannya tidak begitu mengecewakan, namun beberapa kesilapan pada saat-saat penting menjadi pemisah antara kemenangan dan kekalahan.
Katanya, kegagalan mengekalkan konsistensi balingan selain tidak memanfaatkan peluang untuk menambah mata pada penghujung permainan menyebabkan impian membawa pulang pingat akhirnya berkecai.
“Sebenarnya permainan saya agak baik, cuma di penghujung permainan balingan saya tidak konsisten. Saya juga gagal menambah mata ketika mempunyai peluang. Entahlah, memang tidak menjadi.
“Saya tidak memikirkan mengenai pemain lain yang sudah memenangi pingat. Apa yang saya fikirkan hanyalah mahu menang untuk diri sendiri,” katanya.
Walaupun pulang dengan tangan kosong, Emma menegaskan kekalahan di Glasgow bukan penamat kepada perjalanan kariernya kerana beliau masih yakin mampu memberi saingan di peringkat tertinggi bersama skuad kebangsaan.
“Sebelum ini pun ada yang bertanya sama ada saya mahu bersara, tetapi saya rasa saya masih mampu memberikan saingan kepada pemain lain, insya-Allah,” katanya.
Emma membuat penampilan keempat di Sukan Komanwel selepas beraksi pada edisi 2014, 2018, 2022 dan 2026.
Sepanjang kariernya di temasya itu, beliau pernah menghadiahkan pingat perak dalam acara fours di Glasgow 2014 sebelum muncul juara acara pairs bersama Siti Zalina Ahmad di Gold Coast 2018. – UTUSAN
The post Emma akui kecewa, nafi Glasgow noktah karier appeared first on Utusan Malaysia.




