
GEORGE TOWN – Empat lelaki terdiri tiga eksekutif pemasaran dan seorang ahli perniagaan dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mencederakan seorang peguam menggunakan senjata besi, dua tahun lalu.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.
Tertuduh, Yeoh Ee Seong, 48, Ng Weng Kooi, 43, Koay Beng Ghee, 38, dan Teh Eng Tat, 38, dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri selepas mahkamah meneliti keterangan sembilan saksi pendakwaan serta 42 eksibit yang dikemukakan sepanjang perbicaraan.
Dalam pada itu, mahkamah turut memerintahkan bahawa wang jaminan kesemua tertuduh dikembalikan.
Dalam penghakimannya, Nadratun berkata, terdapat percanggahan, kelompangan dan naratif tidak konsisten dalam kes pendakwaan yang menjejaskan kebolehpercayaan keterangan saksi, khususnya berkaitan pengecaman identiti pelaku.
Menurutnya, kejadian serangan berlaku dalam tempoh amat singkat iaitu kurang 10 saat, manakala pelaku dalam televisyen litar tertutup (CCTV) didapati memakai pelitup muka.
Dalam pada itu, Nadratun berkata, mahkamah turut menolak pergantungan pendakwaan terhadap keterangan keadaan yang mengaitkan seorang tertuduh dengan sebuah Toyota Vios berwarna putih yang dilihat melalui pandu lalu McDonald’s, kira-kira sejam sebelum kejadian.
Bagi pertuduhan terhadap Ee Seong pula, mahkamah mendapati pendakwaan hanya berjaya menunjukkan wujudnya motif susulan perselisihan dengan mangsa, namun gagal mengemukakan bukti langsung atau tidak langsung bahawa tertuduh merancang, mengarahkan atau bersubahat dalam serangan itu.
Mengikut pertuduhan, Ee Seong didakwa bersubahat dengan Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 39 tahun menggunakan sebatang besi di tepi Jalan Persiaran Karpal Singh, pada pukul 9.50 pagi, 22 Oktober 2024.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini, manakala Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi diwakili peguam Muhamad Asri Abdul Hamid. Ee Seong pula diwakili tiga peguam iaitu Mohd. Khairul Fairuz, Datuk Suhaimi Ibrahim dan Marcia Geraldine Lopez.
Sebelum ini, Beng Ghee, Eng Tat dan Weng Kooi didakwa bersubahat dengan seorang lagi lelaki yang masih bebas, namun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.
Ketiga-tiga lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
The post Empat lelaki lepas bebas tuduhan cederakan peguam guna besi appeared first on Kosmo Digital.






