
LUMUT – Empat nelayan warga Myanmar bersama dua vesel nelayan tempatan (VNT) ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Segari di sini hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, VNT berkenaan ditahan selepas disyaki melanggar syarat sah lesen di sekitar perairan berkenaan.
“Kedua-dua vesel berkenaan dikesan oleh bot ronda APMM ketika melaksanakan rondaan penguatkuasaan di sekitar sektor operasi berkenaan.
“Tangkapan dibuat kira-kira pukul 3.20 pagi dan 3.40 pagi pada kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika dari pantai Segari,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua vesel dikendalikan oleh seramai empat warga Myanmar, terdiri daripada dua tekong dan dua kru berusia antara 35 hingga 43 tahun.
“Kedua-dua vesel disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang lima batu nautika dari pantai atau daratan, pemilik tidak mengusahakan vesel sendiri serta menggunakan kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 selepas kru berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Zainudin berkata, kesemua kru ditahan bagi membantu siasatan, manakala kedua-dua vesel, hasil tangkapan ikan serta peralatan menangkap ikan turut dirampas sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE
The post Empat nelayan Myanmar ditahan di perairan Segari appeared first on Kosmo Online.






