
KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,912 kejadian pokok tumbang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, insiden berkenaan mengakibatkan empat kematian, 20 kecederaan dan 38 mangsa berjaya diselamatkan tanpa kecederaan.
“Monsun Barat Daya membawa corak cuaca yang menyaksikan hujan lebat dalam tempoh singkat, sebelum disusuli angin kencang. Keadaan ini menjadi antara faktor yang meningkatkan risiko kejadian pokok tumbang, terutama ketika berlaku tiupan angin kuat.
“Pokok yang ditanam di kawasan landskap mencatatkan risiko lebih tinggi berbanding pokok semula jadi kerana struktur akarnya cenderung merebak ke tepi berikutan keadaan tanah yang bukan (subsoil) asal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sukan Bomba (Sukbom) 2026 di Endah Parade, di sini hari ini.
Nor Hisham berkata, keseluruhan kes pokok tumbang yang direkodkan dari 2021 hingga Jun tahun ini adalah sebanyak 26,001 kes, dengan jumlah tertinggi dicatatkan pada 2024 iaitu 5,232 kes.
Menurutnya, bagi tahun 2025 pula, sebanyak 4,488 kes direkodkan, manakala kejadian pokok tumbang sepanjang tempoh berkenaan mengakibatkan 50 kematian dan 243 kecederaan.
“Walaupun jumlah kes tidak meningkat secara konsisten, kejadian pokok tumbang masih memberi risiko serius terhadap keselamatan awam. Panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang kekal tinggi antara 4,400 hingga 5,200 kes setahun,” ujarnya.
Beliau berkata, antara faktor utama kejadian itu ialah ribut petir yang disertai angin kencang serta hujan lebat terutama ketika fasa peralihan monsun.
“Hujan berterusan boleh menyebabkan tanah menjadi tepu dan mengurangkan kestabilan sistem akar pokok sekali gus meningkatkan risiko pokok tumbang,” katanya.
Selain faktor cuaca, keadaan fizikal pokok seperti usia, penyakit, reput serta struktur akar dan dahan yang lemah turut dikenal pasti menyumbang kepada kejadian berkenaan.
Nor Hisham berkata, kejadian pokok tumbang lazimnya bukan berpunca daripada satu faktor tunggal, sebaliknya gabungan antara cuaca, keadaan pokok dan tahap penyelenggaraan.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa audit keselamatan pokok dilakukan secara berkala terutama di kawasan berisiko tinggi seperti jalan utama, sekolah, hospital, taman awam dan kawasan tumpuan orang ramai.
“Pendekatan lebih sistematik dan berasaskan data perlu dipertingkatkan bagi mengenal pasti kawasan berisiko serta mengurangkan ancaman kepada keselamatan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Empat maut, 1,912 pokok tumbang dalam tempoh enam bulan appeared first on Kosmo Digital.






