
PETALING JAYA: Sebanyak 1,912 insiden pokok tumbang direkodkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam tempoh separuh pertama tahun ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, antara faktor utama insiden tersebut adalah kejadian ribut petir, angin kencang dan hujan lebat khususnya semasa fasa peralihan monsun.
“Hujan berterusan boleh menyebabkan tanah menjadi tepu dan mengurangkan kestabilan sistem akar pokok sekali gus meningkatkan risiko pokok tumbang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sukan Bomba (Sukbom) 2026 di ibu negara di sini hari ini.
Jelasnya, selain faktor cuaca, keadaan fizikal pokok juga menjadi punca berlakunya insiden pokok tumbang.
“Keadaan fizikal pokok yang telah berusia, berpenyakit, reput atau mempunyai struktur akar dan dahan yang lemah turut menyumbang kepada kejadian tersebut,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 26,001 kes pokok tumbang telah direkodkan dengan 50 kematian dalam tempoh tahun 2021 hingga Jun lalu.
Tambahnya, walaupun trend tersebut tidak meningkat secara konsisten, kejadian pokok tumbang masih memberi risiko serius terhadap keselamatan orang awam.
Dalam pada itu, Nor Hisham menggesa supaya audit dan penilaian keselamatan pokok perlu dilaksanakan secara berkala.
Ia khususnya di kawasan yang berisiko tinggi seperti jalan utama, sekolah, hospital, taman awam, kawasan perumahan serta lokasi tumpuan orang ramai.
“Pemeriksaan hendaklah merangkumi keadaan batang, dahan, kanopi, sistem akar, tahap kecondongan, tanda-tanda pereputan, penyakit serta kesan kerja pembangunan di sekitar pokok.
“JBPM berpandangan bahawa audit secara berkala membolehkan tanda-tanda awal kegagalan struktur pokok dikenal pasti sebelum berlaku kejadian.
“Ia sekali gus mengurangkan risiko kecederaan, kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan gangguan kepada laluan awam,” katanya.-UTUSAN
The post Bomba rekod 1,912 insiden pokok tumbang dalam tempoh enam bulan appeared first on Utusan Malaysia.






