Pokok tumbang ragut 50 nyawa sejak 2021, JBPM gesa audit berkala

LocalEnvironment
6 Aug 2026 • 5:07 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pokok tumbang ragut 50 nyawa sejak 2021, JBPM gesa audit berkala

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Insiden pokok tumbang di seluruh negara telah meragut 50 nyawa serta mengakibatkan 243 individu cedera daripada keseluruhan 26,001 kes yang direkodkan sejak 2021 hingga Jun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata trend kes sentiasa tinggi setiap tahun, dan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, 1,912 insiden direkodkan yang melibatkan empat kematian dan 20 mangsa cedera.

Menyedari ancaman berterusan terhadap keselamatan awam, beliau menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemilik premis supaya melaksanakan audit keselamatan pokok secara berkala.

"Justeru, JBPM menyokong penuh agar penilaian keselamatan pokok dilaksanakan, khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti jalan utama, sekolah, hospital, taman awam, kawasan perumahan dan lokasi tumpuan ramai.

"Pemeriksaan ini perlu melibatkan pegawai atau pakar berkelayakan bagi menilai keadaan batang, dahan, kanopi, sistem akar, tahap kecondongan, serta kesan kerja pembangunan di sekitar pokok terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Bomba (Sukbom) 2026 di Seri Petaling, di sini hari ini.

Image from: Pokok tumbang ragut 50 nyawa sejak 2021, JBPM gesa audit berkala
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad menyampaikan ucapan perasmian program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGiAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Nor Hisham berkata hasil audit yang bersistematik membolehkan tanda-tanda awal kegagalan struktur pokok dikenal pasti sebelum berlakunya sebarang kemalangan yang mengancam nyawa atau merosakkan harta benda awam.

Bagi pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi, beliau menasihatkan supaya tindakan segera diambil seperti kerja pemangkasan, rawatan, pemasangan sokongan atau penebangan terkawal.

Menyentuh mengenai faktor kejadian pokok tumbang, beliau berkata hujan berterusan terutamanya semasa fasa peralihan monsun boleh menyebabkan tanah menjadi tepu, sekali gus mengurangkan kestabilan sistem akar pokok.

Nor Hisham berkata cuaca ekstrem yang membawa hujan lebat dan angin kencang menjadi pencetus utama kejadian dahan patah atau pokok tumbang secara tiba-tiba, yang turut diburukkan lagi dengan faktor fizikal pokok yang telah berusia, berpenyakit, reput atau berstruktur lemah.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan pokok yang ditanam di kawasan landskap mempunyai risiko tumbang yang lebih tinggi berbanding pokok semula jadi memandangkan struktur akarnya cenderung merebak ke tepi berikutan keadaan struktur tanah asal yang berbeza.

Walaupun rekod kes menunjukkan turun naik, dengan angka tertinggi 5,232 kes pada 2024 sebelum menurun kepada 4,488 kes tahun lalu, namun panggilan kecemasan akibat pokok tumbang kekal membimbangkan dan konsisten antara 4,400 hingga 5,200 panggilan setahun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved