Empat maut dihempap pokok, Young Syefura ingatkan pentingnya pengurusan risiko alam sekitar

LocalEnvironment
4 Aug 2026 • 2:22 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menggesa penilaian risiko terhadap pokok-pokok matang di sepanjang laluan FT68 (Jalan Lama Bentong–Kuala Lumpur) dipertingkatkan susulan insiden pokok tumbang berhampiran Genting Sempah ke Bukit Tinggi yang mengorbankan empat nyawa semalam.

Image from: Empat maut dihempap pokok, Young Syefura ingatkan pentingnya pengurusan risiko alam sekitar

Menurut beliau, tragedi berkenaan perlu dijadikan pengajaran penting mengenai kepentingan pengurusan risiko alam sekitar yang lebih sistematik bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tragis pokok tumbang di laluan FT68 berhampiran Genting Sempah–Bukit Tinggi semalam.
“Doa saya agar seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan, dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian yang berat ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bentong, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong serta semua pihak yang bertindak pantas mengendalikan operasi menyelamat dan pembersihan di lokasi kejadian.

Young Syefura berkata, laluan FT68 merupakan antara laluan penting di Daerah Bentong kerana bukan sahaja menghubungkan kawasan pelancongan seperti Kampung Janda Baik dan Bukit Tinggi, malah menjadi laluan alternatif utama apabila berlaku kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Beliau menjelaskan, faktor geografi laluan yang dikelilingi kawasan berbukit serta pokok-pokok matang menjadikan isu kestabilan cerun dan risiko pokok tumbang sentiasa diberi perhatian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) Bentong.

Image from: Empat maut dihempap pokok, Young Syefura ingatkan pentingnya pengurusan risiko alam sekitar

“Kita juga wajar mengambil pengajaran daripada insiden tanah runtuh dan pokok tumbang di tapak perkhemahan sebelum ini sebagai peringatan penting tentang kepentingan pengurusan risiko alam sekitar yang teratur,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kejadian itu memperlihatkan keperluan untuk memperkukuhkan langkah pencegahan sedia ada secara lebih menyeluruh, termasuk menambah baik aspek pengurusan keselamatan di laluan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak konsesi penyelenggaraan memperkukuhkan kerjasama dengan agensi dan pakar bertauliah bagi menjalankan penilaian teknikal secara berkala terhadap kesihatan pokok, kestabilan akar serta struktur tanah.

Menurutnya, langkah tersebut mampu membantu menentukan tindakan pemangkasan atau rawatan pokok secara lebih komprehensif, selain memastikan skop penyelenggaraan jalan raya turut merangkumi pemantauan vegetasi matang dan cerun geoteknikal, khususnya ketika berdepan cuaca ekstrem serta musim hujan.

Beliau turut menyeru semua pemegang taruh di kawasan pelancongan dan pihak berkepentingan tempatan supaya menyalurkan maklumat awal kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan pokok yang berisiko tumbang bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Artikel lain: 4 pemimpin Melayu DAP gesa tindakan tegas isu pijak al-Quran di Sabah -“Amat biadab!”

“Saya akan terus membawa perkara ini ke peringkat kementerian serta menyusuli pelaksanaan tindakan pemantauan ini di dalam Mesyuarat JTPD Bentong yang akan datang.
“Fokus utama kita adalah untuk bekerjasama rapat dengan semua agensi teknikal demi memastikan keselamatan penduduk tempatan serta para pengguna jalan raya sentiasa terpelihara,” tambahnya lagi.

Sumber: Facebook Young Syefura Othman

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved