KUANTAN – Nasib anak kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, arwah Mohd Radzi Rahimi yang terselamat dalam tragedi pokok tumbang di Bentong pada Isnin terus mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang.
Pengarah JKM Pahang, Khairul Amri Ahmad berkata, pihaknya akan memastikan keadaan emosi kanak-kanak berusia lima tahun itu dipulihkan selain terus memantau aspek penjagaan dan sokongan psikososial.
Menurutnya, satu lawatan khas diadakan bagi mengenal pasti keadaan kesihatan kanak-kanak berkenaan yang kini menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh.
"Kanak-kanak ini akan dijaga oleh ahli keluarga yang akan ditentukan bersama kelak.
"Pihak JKM akan terus memantau bagi memastikan kebajikannya sentiasa terjaga, terutamanya dari segi penjagaan serta sokongan psikososial yang berterusan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Dalam lawatan berkenaan, Khairul Amri mengiringi Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan.
Turut disertai oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah dan Pegawai Psikologi bagi menyantuni kanak-kanak terbabit di hospital berkenaan.
Dalam kejadian tengah hari Isnin, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki keluarga berkenaan dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Bentong, Bentong.
Tragedi itu meragut nyawa Mohd Radzi, 40, isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, seorang daripada anak kembar mereka, Muhammad Rizz Hazim, 5, serta adik iparnya, Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35.
Kanak-kanak berusia lima tahun yang kini menerima rawatan di HOSHAS itu merupakan satu-satunya mangsa yang terselamat dalam kejadian berkenaan.
Terdahulu, jenazah empat mangsa selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Sri Chedung, Maran pada jam 3.15 pagi Selasa.
Sebelum itu, kesemua jenazah dituntut waris dari HOSHAS sebelum dibawa ke Masjid Kampung Paya Luas, Temerloh untuk dimandikan dan dikafankan, sebelum disolatkan di Masjid Asy-Syakirin dan dibawa ke tanah perkuburan.
Khairul Amri memberitahu, kerajaan negeri melalui JKM turut menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1,000 di bawah Tabung Malapetaka Daerah (TMD) kepada wakil waris mangsa.
Jelasnya, bantuan berkenaan bertujuan meringankan beban keluarga susulan tragedi yang berlaku.






