TELUPID - Kenderaan yang dinaiki empat individu yang dilaporkan maut dipercayai telah hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 7 Jalan Telupid-Beluran pada pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta merupakan lelaki warga emas berusia 63 tahun sedang dalam perjalanan bersama tiga lagi individu lain.
"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Beluran menuju ke Pekan Telupid manakala pemandu lori berusia 44 tahun dalam perjalanan dari arah Kampung Gambaron ke tempat kerja.
"Kemalangan disyaki berlaku ketika pemandu kereta hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh dan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung lori tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, akibat kemalangan tersebut, pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian kaki dan tangan.
"Sementara itu, pemandu kereta dan tiga penumpang tersepit di tempat duduk hadapan dan belakang mengalami kecederaan parah serta tidak sedarkan diri.
"Pihak kita turut dibantu oleh pasukan bomba dan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mengeluarkan mangsa sebelum kesemua mereka disahkan meninggal dunia," katanya.
Hasan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang melihat kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) agar tampil membantu siasatan dengan hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Alpius @ Nickee Yakim di talian 019-8707626," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan empat individu maut selepas kereta yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian di Kampung Gambaron, di sini, pada pagi Rabu.






