
ALOR SETAR: Dua kawasan di negeri ini iaitu Alor Setar dan Sungai Petani mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, setakat pukul 10 pagi ini.
Data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), menunjukkan Alor Setar mencatat IPU 152, manakala Sungai Petani merekodkan IPU 155.
Selain itu, Langkawi dan Kulim Hi-Tech merekodkan kualiti udara pada tahap sederhana iaitu masing-masing IPU 87 dan 89.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah menasihatkan orang ramai mengurangkan tempoh serta aktiviti fizikal yang lasak di luar rumah.
“Apabila bacaan berada pada tahap tidak sihat (101–200), golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit jantung atau masalah pernafasan perlu lebih berhati-hati.
“Hadkan aktiviti luar dan gunakan pelindung pernafasan yang sesuai apabila perlu berada di luar, minum air secukupnya, elakkan merokok dan jauhi kawasan yang mempunyai asap atau pencemaran,” katanya.
Malah, golongan berisiko perlu mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami batuk, sesak nafas, mata pedih atau berair, sakit dada atau gejala kesihatan yang semakin teruk.
“Jangan tunggu udara makin teruk. Lindungi diri, kurangkan pendedahan dan sentiasa peka dengan bacaan kualiti udara semasa,” katanya. – UTUSAN
The post Jerebu: Alor Setar, Sungai Petani catat IPU tidak sihat appeared first on Utusan Malaysia.






