Kualiti udara negara merosot, pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah

LocalEnvironment
24 Aug 2026 • 1:28 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kualiti udara negara merosot, pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah

PETALING JAYA: Kualiti udara negara hari ini merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melibatkan empat kawasan di Semenanjung dan beberapa kawasan di Sarawak, susulan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Azuri Azizah Saedon berkata, empat kawasan terlibat membabitkan Semenanjung manakala lima lagi di Sarawak.

Katanya, setakat pukul 11 pagi tadi, IPD Serian, Sarawak merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 195, diikuti Kuching (178), Samarahan (173), Johan Setia, Selangor (159), Sri Aman (158), Sungai Petani, Kedah (155), Alor Setar (152), Bintulu (129) dan Minden, Pulau Pinang (124).

“Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat melibatkan empat kawasan di Semenanjung dan beberapa kawasan di Sarawak, susulan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 23 Ogos lalu, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 252 titik panas di Kalimantan, 118 titik panas di Sumatera dan enam titik panas di Malaysia.

“Daripada jumlah itu, dua titik panas dikesan di Johor, tiga di Sarawak dan satu di Terengganu. Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC hari ini menunjukkan keadaan cuaca kering berterusan di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali hujan yang berlaku terutama di bahagian utara Borneo dan utara Sumatera.

“Kelompok titik panas secara terpencil hingga bertaburan dikesan di beberapa kawasan di Kalimantan serta bahagian selatan dan tengah Sumatera. Beberapa titik panas turut dikesan di kawasan lain di rantau ASEAN selatan,” katanya.

Azuri Azizah berkata, jerebu sederhana diperhatikan di bahagian barat Borneo manakala kepulan asap sederhana hingga tebal diperhatikan di bahagian tengah dan selatan Sumatera.

“Kepulan asap setempat ringan turut diperhatikan di beberapa kawasan di Kalimantan. Beberapa stesen pengawasan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian barat Sarawak serta bahagian selatan dan tengah Sumatera merekodkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat hingga sangat tidak sihat,” katanya.

Katanya, keadaan sebenar titik panas dan jerebu di rantau ini tidak dapat ditentukan sepenuhnya berikutan litupan awan.

Ujarnya, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara,” katanya.

Katanya, semua pemilik tanah dinasihatkan memantau rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau tidak sengaja.

Jelasnya, JAS melalui PTJK sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa manakala tindakan akan diambil selaras dengan pelan berkenaan yang melibatkan semua agensi berkaitan.

Katanya, antara tindakan ditetapkan ialah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam.

“Semua aktiviti di luar bilik darjah pula perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.

“Pihak sekolah, tadika dan taska juga dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU dan membuat persediaan untuk penutupan sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200,” katanya.

Azuri Azizah berkata, Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih 24 jam. – UTUSAN 

The post Kualiti udara negara merosot, pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved