
KUALA LUMPUR: Seorang pelakon drama wanita dan rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.
Bagaimanapun, Farah Wahida Zainuddin, 44, dan Mohd. Nizam Jamaluddin, 45, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dikemukakan terhadap mereka.
Turut didakwa di mahkamah berasingan atas peruduhan serupa ialah dua lagi individu iaitu Lim Sue Peng, 54, dan Lim Sian Tze, 54. Mereka juga mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan.
Di hadapan Hakim Suzana Hussin, pelakon drama Ironi Kasih yang didakwa sebagai Pengarah Focal Reality Entertainment Sdn. Bhd. didakwa atas empat pertuduhan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 yang palsu bagi tuntutan insentif di bawah program tersebut.
Bagi Mohd. Nizam, dia didakwa atas empat pertuduhan bersubahat dengan Farah Wahida untuk melakukan perbuatan sama.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Off Jalan Gombak, di sini, pada 29 dan 30 Mac 2024.
Di hadapan Hakim Rosli Ahmad, Sue Peng sebagai Pengarah Syarikat Zfinity manakala Sian Tze sebagai pemilik syarikat LST Concept Marketing masing-masing didakwa atas lima dan lapan pertuduhan serupa.
Perbuatan itu dilakukan di syarikat terbabit dan di sebuah premis di Taman Sri Sinar Segambut, di sini, antara 1 April hingga 2 Okt 2024.
Farah Wahida, Sue Peng dan Sian ze didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Mohd. Nizam pula didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 akta sama yang turut memperuntukkan hukuman penjara dan denda yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan Farah Wahida diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin manakala Mohd. Nizam dibenarkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin, bagi kesemua pertuduhan.
Bagi Sue Peng dan Sian Tze, mereka masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM35,000 dan RM48,000 bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan kepada kesemua tertuduh iaitu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa SPRM, Nazreena Zainudin manakala Farah Wahida diwakili peguam bela, Zulkifli Awang, selain Sue Peng dan Sian Tze masing-masing diwakili Ahmad Faruq Sidik dan S. Kirthen. –UTUSAN
The post Pelakon wanita, tiga lain didakwa tipu tuntutan insentif Perkeso appeared first on Utusan Malaysia.






