Pelakon wanita, 3 individu didakwa buat tuntutan palsu insentif Perkeso

LocalEntertainment
6 Aug 2026 • 5:41 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelakon wanita, 3 individu didakwa buat tuntutan palsu insentif Perkeso

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita dan tiga individu didakwa di dua Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh yang juga pelakon drama Farah Wahida Zainuddin, 44, dan rakannya, Mohd. Nizam Jamaluddin, 45, masing-masing berdepan empat pertuduhan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Suzana Hussin.

Dua lagi tertuduh iaitu Lim Sue Peng dan Lim Sian Tze berumur 54 tahun yang masing-masing didakwa lima dan lapan pertuduhan, turut mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan Farah Wahida didakwa sebagai pengarah sebuah syarikat telah memberi ejen Perkeso dokumen palsu iaitu Borang Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 atas nama syarikat terbabit dalam permohonan tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Perkeso, di sebuah premis di Off Jalan Gombak, di sini pada 29 dan 30 Mac 2024.

Dalam pada itu Sue Peng dan Sian Tze yang juga pengarah dan pemilik syarikat didakwa atas kesalahan sama, di di Taman Sri Sinar Segambut di sini, antara 1 April hingga 2 Oktober 2024.

Sementara Mohd. Nizam didakwa bersubahat dengan Farah Wahida atas kesalahan sama, mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 18 akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Farah Wahida diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohd Nizam dibenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Kedua-duanya juga turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sue Peng dibenarkan jaminan RM35,000 bagi kesemua lima pertuduhan sementara Sian Tze diikat jamin RM48,000 bagi kesemua lapan pertuduhan dengan syarat tambahan yang sama.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa SPRM Nazreena Zainudin.

Peguam Zulkifli Awang mewakili Farah Wahida manakala Sue Peng serta Sian Tze masing-masing diwakili peguam Ahmad Faruq Sidik dan S. Kirthen. – KOSMO! ONLINE

The post Pelakon wanita, 3 individu didakwa buat tuntutan palsu insentif Perkeso appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved