GEORGE TOWN - Empat pemilik syarikat berbeza dihadapkan ke mahkamah di atas 30 pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi pernyataan palsu bagi tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada dua tahun lalu.
Bagaimanapun, keempat-empat tertuduh iaitu Neoh Wooi Lee, 50, Phua Ai Ling, 45, Wong Joon Hong, 40, dan Goh Chee Wai, 43, mengaku tidak bersalah ke atas kesemua pertuduhan ke atas mereka di Mahkamah Sesyen 2 di sini pada Khamis.
Kesemua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap itu jika butir matan yang palsu atau silap itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Tertuduh, Wooi Lee yang kini bekerja sebagai kerani menghadapi 21 pertuduhan iaitu sebagai pemilik kepada empat syarikat.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menipu ejen PERKESO dengan mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja Program Daya Kerjaya 2.0 atas nama empat syarikat itu yang dilampirkan di dalam permohonan tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 PERKESO.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Golden One Stop Services, D One Solution, As You Wish Enterprise dan Century SS Solution antara 10 April 2024 hingga 26 Ogos 2024.
Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong menawarkan wang jaminan RM48,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Beliau juga memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mendekati mangsa atau saksi pendakwaan memandangkan saksi mempunyai jumlah yang agak ramai.
Tertuduh yang diwakili, K Mahendran memohon mahkamah mengurangkan jaminan berikutan anak guamnya merupakan pesakit buah pinggang kronik yang sedang menjalani rawatan dialisis sejak 2001.
"Anak guam saya sudah berkahwin dan perlu menanggung anak yang sedang belajar di sebuah kolej.
"Pendapatannya juga hanya RM3,500 selain perlu menanggung kos rawatan sehingga kini. Mohon wang jaminan dikurangkan," katanya.
Hakim Irwan Suainbon kemudiannya menetapkan wang jaminan RM28,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta membenarkan kesemua syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.
**media[3606737]**Sementara itu, Ai Ling yang merupakan pemilik syarikat Great Solutions Management turut menghadapi satu pertuduhan bagi kesalahan sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tingkat Paya Terubong 1, Ayer Itam pada 31 Julai 2024.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan yang sama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jaminan berikutan perlu menjaga bapanya yang menghidap penyakit kanser.
**media[3606731]**Dalam pada itu, Joon Hong yang merupakan pemilik JH Good Court pula menghadapi dua pertuduhan sama.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu JH Food Court No 1, Jalan Larut pada 26 Ogos 2024.
Nurnajihatul menawarkan RM24,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan yang sama.
Mahendran yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya mengidap penyakit jantung dan telah memasang dua sten di jantungnya.
**media[3606769]**Sementara itu, Chee Wai yang merupakan pemilik syarikat Tojeda Enterprise Sdn Bhd pula menghadapi enam pertuduhan sama yang dilakukan di Lebuh Macallum antara 1 Mac 2024 hingga 15 April 2024.
Jin Hong turut menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan.
Peguam yang mewakilinya, Teh See Khoon memohon mahkamah mengurangkan jaminan berikutan anak guamnya telah kehilangan syarikat dan kini bekerja sebagai eksekutif jualan dengan gaji bulanan antara RM2,000 hingga RM3,000 (bergantung kepada jualan).
See Khoon berkata, tertuduh belum berkahwin dan perlu menjaga ibu bapanya yang sudah uzur.
Irwan kemudiannya menetapkan wang jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin bagi Ai Ling, Joon Hong, dan Chee Wai.
Beliau turut membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh Timbalan Pendakwa Raya bagi ketiga-tiga tertuduh.





