Empat penghuni pusat jagaan didakwa bunuh, sebabkan kematian rakan

12 Aug 2026 • 3:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Empat penghuni pusat jagaan didakwa bunuh, sebabkan kematian rakan

IPOH – Empat penghuni sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian seorang lagi penghuni, minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Faiz Mohd. Rauhi, 35; Zaid Shaari, 50, Radzuan Suboh, 55, dan Abdul Halim Mohd. Niza, 47, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Faiz didakwa membunuh Mohd. Fauzir Hussin, 54, seorang penghuni di Pusat Jagaan Bakti, Jalan Bunga Cempaka, Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan dalam daerah Kinta antara pukul 5 hingga 5.41 petang pada 4 Ogos 2026.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pada prosiding sama, Zaid, Radzuan dan Abdul Halim didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd. Fauzir.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen termasuk laporan perubatan dan bedah siasat.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan Abdul Halim menjalani pemeriksaan psikiatri.

Terdahulu, polis menahan lima individu bagi membantu siasatan kes kematian seorang penghuni sebuah rumah jagaan di Tanjung Rambutan pada 4 Ogos lalu.

Penjaga dan empat penghuni rumah berkenaan ditahan selepas pihaknya menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan mengenai kematian mangsa pada kira-kira pukul 2 petang.

Sepasukan polis kemudian bergegas ke lokasi sebelum pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun. – KOSMO! ONLINE

The post Empat penghuni pusat jagaan didakwa bunuh, sebabkan kematian rakan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved