Empat penghuni pusat jagaan Tanjung Rambutan didakwa bunuh penghuni lain

12 Aug 2026 • 1:27 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat penghuni pusat jagaan Tanjung Rambutan didakwa bunuh penghuni lain
Empat penghuni sebuah pusat jagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu kerana didakwa membunuh dan menyebabkan kematian seorang penghuni lain.

IPOH - Empat penghuni sebuah pusat jagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu kerana didakwa membunuh dan menyebabkan kematian seorang lagi penghuni di Tanjung Rambutan di sini minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Faiz Mohd Rauhi, 35, Zaid Shaari, 50, Radzuan Suboh, 55, dan Abdul Halim Mohd Niza, 47, hanya mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Faiz didakwa membunuh Mohd Fauzir Hussin, 54, seorang penghuni di Pusat Jagaan Bakti, Jalan Bunga Cempaka, Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan dalam daerah Kinta antara jam 5 petang hingga 5.41 petang pada 4 Ogos 2026.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Zaid, Radzuan dan Abdul Halim didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd Fauzir.

Ketiga-tiga mereka didakwa melakukan kesalahan menyebabkan kematian mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen termasuk laporan perubatan dan bedah siasat selain memerintahkan Abdul Halim menjalani pemeriksaan psikiatri.

Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan lima lelaki terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni pusat jagaan berusia antara 35 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan.

Kesemua mereka direman selama empat hari bermula sehingga 8 Ogos bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa yang maut dipercayai dibunuh dalam kejadian itu didapati telah diikat sebelum dipukul dan dipijak oleh rakan penghuni pusat berkenaan.

Siasatan awal mendapati, insiden terbabit berlaku apabila mangsa berusia 54 tahun dikatakan berkelakuan agresif dan mengganggu penghuni lain.

Menurutnya, seorang penjaga kemudiannya telah mengarahkan mangsa diikat sebelum beberapa penghuni bersama penjaga tersebut bertindak memukul serta memijaknya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved