Empat penghuni pusat jagaan didakwa bunuh, sebabkan kematian rakan

12 Aug 2026 • 2:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Empat penghuni pusat jagaan didakwa bunuh, sebabkan kematian rakan

IPOH: Empat penghuni sebuah pusat jagaan di Tanjung Rambutan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan menyebabkan kematian seorang lagi penghuni, minggu lalu.

Tertuduh, Ahmad Faiz Mohd. Rauhi, 35; Zaid Shaari, 50; Radzuan Suboh, 55; dan Abdul Halim Mohd. Niza, 47, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Faiz didakwa membunuh Mohd. Fauzir Hussin, 54, di Pusat Jagaan Bakti, Jalan Bunga Cempaka, Taman Chong Kwee, Tanjung Rambutan, daerah Kinta, antara pukul 5 hingga 5.41 petang, 4 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika tidak dihukum mati, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, Zaid, Radzuan dan Abdul Halim didakwa bersama-sama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Mohd. Fauzir.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zarris Sofea Zainudin, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen termasuk laporan perubatan dan bedah siasat.

Mahkamah turut memerintahkan Abdul Halim menjalani pemeriksaan psikiatri.

Terdahulu, polis menahan lima individu termasuk penjaga dan empat penghuni pusat berkenaan bagi membantu siasatan kematian mangsa pada 4 Ogos lalu.

Tangkapan dibuat selepas polis menerima maklumat daripada Klinik Kesihatan Tanjung Rambutan mengenai kematian seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun kira-kira pukul 2 petang.

Sepasukan polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh mangsa. –UTUSAN

 

The post Empat penghuni pusat jagaan didakwa bunuh, sebabkan kematian rakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved