Empat perompak bersenjata larikan barang kemas RM500,000

21 Aug 2026 • 7:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Empat perompak bersenjata larikan barang kemas RM500,000
Keadaan di lokasi kedai emas yang menjadi mangsa samun oleh empat perompak bersenjata di sini pada Jumaat
Image from: Empat perompak bersenjata larikan barang kemas RM500,000
Anggota polis berada di lokasi kejadian untuk siasatan

KUANTAN - [KEMAS KINI] Empat lelaki bersenjatakan parang dan objek seperti 'pump gun' melarikan barang kemas dianggarkan bernilai RM500,000 dalam kejadian samun berkawan di sebuah kedai emas di Taman Pandan Damai, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2 petang sebelum polis menerima laporan 13 minit kemudian.

Menurutnya, kesemua suspek dipercayai memakai pelindung muka semasa melakukan rompakan.

"Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan empat lelaki membawa senjata termasuk sebilah parang dan objek disyaki senjata api jenis pump gun.

"Kesemua suspek dipercayai melarikan sejumlah barang kemas sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menaiki dua motosikal," katanya.

Ashari berkata,anggaran awal nilai kerugian kira-kira RM500,000 namun jumlah sebenar masih dalam proses pengesahan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan kesemua suspek kini giat dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat di talian 014-882 8135 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di talian 09-565 2222 atau tampil di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kejadian berkenaan.

Menurutnya, tindakan sedemikian dikhuatiri boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan pihak polis.

Terdahulu, beberapa video kejadian yang sempat dirakam orang ramai di sekitar kawasan tersebut tular selepas ia dikongsi di pelbagai platform media sosial.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Maria, 39 berkata, kejadian rompakan ke atas kedai emas yang berada selang beberapa kedai dari premis tempatnya bekerja hanya disedari selepas dimaklumkam rakan setugas.

Wanita itu mendakwa melibat seorang daripada perompak terbabit berada di luar sambil membawa senjata tajam manakala tiga lagi berada dalam premis.

"Saya cuba merakam suspek menggunakan telefon bimbit namun bimbang tindakannya itu disedari suspek.

“Saya takut sebab perompak tu membawa parang jadi saya tidak berani mengambil risiko untuk merakam dengan lebih jelas,” katanya.

Menurut wanita itu, semasa kejadian difahamkan pemilik premis dan dua yang lain berada di premis tersebut.

Tambahnya, kejadian berlaku dengan cepat sebelum perompak terbabit keluar dan melarikan diri dengan menaiki dua motosikal tanpa nombor pendaftaran.

Menurutnya, kejadian rompakan itu kali pertama berlaku sepanjang dia bekerja di situ sejak 2011.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved