Pahang tawar tanah industri sehingga 10 kali lebih murah

LocalBusiness & Finance
21 Aug 2026 • 10:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang tawar tanah industri sehingga 10 kali lebih murah
Mohamad Nizar (kiri) ketika Program Town Hall Rakyat yang dihoskan oleh Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf pada Jumaat. Foto: ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Harga tanah industri yang jauh lebih rendah berbanding Selangor menjadi antara tarikan utama Pahang dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan ke negeri itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, harga tanah industri di sesetengah kawasan di Pahang boleh mencecah 10 kali lebih rendah berbanding Selangor.

Katanya, kelebihan itu disokong jaringan logistik dan pengangkutan yang semakin baik, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pelabur untuk membangunkan kawasan industri baharu.

"Harga tanah industri kita secara purata 10 kali lagi rendah daripada Selangor di sesetengah tempat dan kita ada jaringan logistik serta pengangkutan yang semakin baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, pembukaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada Januari tahun depan dijangka menjadi antara pemangkin utama kepada perkembangan sektor perindustrian dan logistik di Pahang.

Menurutnya, ECRL bakal menghubungkan Pelabuhan Kuantan dengan Pelabuhan Klang, sekali gus mewujudkan jaringan pengangkutan darat yang lebih cekap bagi menggerakkan barangan antara pantai timur dan barat Semenanjung.

Selain itu, katanya, jaringan lebuh raya termasuk Central Spine Road (CSR) yang menghubungkan Pahang dengan Negeri Sembilan dan Kelantan turut memperkukuh kedudukan negeri itu sebagai hab logistik.

"Kita ada jaringan logistik yang kukuh dan peluang untuk membangunkan kawasan di sekitar stesen ECRL. Ini antara kelebihan Pahang yang masih mempunyai banyak tanah industri untuk dibangunkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar berkata, pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu yang dijangka beroperasi pada 2031 mampu meningkatkan lagi daya tarikan Pahang kepada pelabur asing.

Beliau memberitahu, lapangan terbang berkenaan disasarkan mampu mengendalikan sekurang-kurangnya dua juta penumpang setahun.

Katanya, Pelabuhan Kuantan juga mempunyai potensi besar untuk dikembangkan terutama dalam meningkatkan hubungan perdagangan dengan China, Korea Selatan dan negara-negara Asia Utara.

"Bayangkan potensinya kalau kita boleh bangunkan banyak kilang melalui pelabuhan ini. Kita juga sedang mengusahakan perdagangan dua hala, mungkin dengan Borneo, supaya ada laluan kapal yang lebih kerap untuk meningkatkan jumlah kontena di Pelabuhan Kuantan. Ini seterusnya boleh merancakkan lagi industri di situ," katanya.

Mohamad Nizar berkata, Pahang turut mempunyai potensi besar untuk muncul sebagai pusat bekalan tenaga serantau, terutama menerusi pembangunan tenaga boleh baharu.

Menurutnya, potensi berkenaan boleh diterokai melalui pembangunan tenaga hidro, solar, teknologi penyimpanan tenaga termasuk ‘pump hydro storage’ dan teknologi bateri.

"Kita boleh meletakkan Pahang sebagai pembekal tenaga elektrik atau pusat pembekalan tenaga. Kalau boleh, kita wujudkan lebih banyak tenaga hijau seperti ‘pump hydro storage’, hidro, solar dan teknologi bateri.

"Banyak sebenarnya potensi Pahang selain daripada membuka kilang berteknologi tinggi," kata beliau lagi.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved