Walaupun kos bina cecah RM400,000, rumah PR1MA Pahang dijual hanya RM150,000 seunit

21 Aug 2026 • 10:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Walaupun kos bina cecah RM400,000, rumah PR1MA Pahang dijual hanya RM150,000 seunit
Mohamad Nizar ketika Town Hall Rakyat anjuran Sinar Harian di Dewan Karangkraf pada Jumaat. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Kerajaan Pahang menanggung sebahagian besar kos pembinaan rumah mampu milik bagi membolehkan kediaman yang kos pembinaannya mencecah RM400,000 ditawarkan kepada rakyat pada harga sekitar RM150,000.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata, pendekatan itu antara insentif dan inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan rakyat terus mendapat akses kepada kediaman mampu milik.

"Bayangkan bagi rumah Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), kos untuk membina RM400,000 tetapi kerajaan negeri jual pada harga RM150,000 selepas disubsidi.

"(Kerajaan menyalurkan) subsidi RM2.7 bilion (untuk menyediakan kediaman setakat ini dan angka ini) agak besar sebab kita memberi subsidi kepada rumah mampu milik dan juga kepada rumah percuma," katanya pada Program Town Hall Rakyat Sinar Harian yang dihoskan pelakon popular, Fikry Ibrahim di Dewan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya berkata, sehingga kini sebanyak kira-kira 29,000 rumah menerusi pelbagai skim perumahan telah dibangunkan di Pahang.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,372 unit diberikan secara percuma kepada golongan B40 yang benar-benar memerlukan.

"Daripada 29,000 rumah pelbagai skim itu, kerajaan negeri telah memberi 1,372 rumah rakyat Pahang secara percuma untuk golongan B40 yang betul-betul memerlukan.

"Ini buah fikiran Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengilhamkan perkara ini," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memastikan bantuan perumahan dapat diagihkan secara lebih meluas menerusi peruntukan rumah di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, setiap DUN mendapat lapan unit rumah untuk diagihkan kepada golongan B40 yang layak.

"Setiap DUN dapat lapan buah rumah yang boleh diagihkan kepada golongan B40. Tak cukup dengan itu, kita ada Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah yang dengan kebijaksanaan Tuanku dapat bersama-sama kerajaan negeri menyediakan lebih 300 unit rumah.

"Ini tambahan daripada apa yang kerajaan negeri buat untuk memberi rumah kepada rakyat Pahang," katanya.

Mohamad Nizar berkata, pelbagai skim perumahan berkenaan menunjukkan komitmen kerajaan negeri membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri tanpa menanggung kos yang terlalu tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan negeri perlu dinilai berdasarkan prestasi dan manfaat yang diterima rakyat.

"Bos saya (Wan Rosdy) selalu cakap kita berharap rakyat akan memilih prestasi daripada persepsi.

“Dalam pilihan raya umum (PRU) lepas kita tak bernasib baik sebenarnya walaupun macam-macam telah dibuat tetapi akhirnya persepsi mengatasi prestasi," kata beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved