Empat pertuduhan bunuh mangsa tragedi LPT, prosiding di hospital

11 Sep 2026 • 4:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

terkini

TEMERLOH: Seorang pemandu lori berdepan empat pertuduhan membunuh empat individu dalam tragedi kemalangan maut membabitkan 10 kenderaan di Kilometer (KM) 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, di sini pada 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, lelaki berusia 52 tahun itu dituduh di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini hari ini mangsa tertuduh dirawat di situ.

Katanya, tertuduh didakwa mengikut empat pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Pahang.

“Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, polis menerima arahan supaya pemandu lori berkenaan dituduh atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, lori berkenaan dipercayai melanggar sebuah Honda CR-V dan Proton S70 sebelum terbabit dalam kemalangan yang melibatkan keseluruhan 10 kenderaan.

Kemalangan itu mengakibatkan empat mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi iaitu pemandu Honda CR-V, lelaki berusia 18 tahun, mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang maut ialah bapa kepada pemandu Honda CR-V, seorang lelaki berusia 55 tahun. Turut maut ialah pemandu dan penumpang Proton S70, masing-masing lelaki dan wanita Melayu berusia 32 tahun serta anak lelaki mereka berusia empat tahun.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan sehingga 12 sebatan. – UTUSAN

 

The post Empat pertuduhan bunuh mangsa tragedi LPT, prosiding di hospital appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved