Empat remaja lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat

3 Sep 2026 • 7:07 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Empat remaja lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat

KOTA TINGGI: Empat remaja dilaporkan lemas ketika mandi-manda di Tanjung Lompat, Desaru di sini, bersama beberapa rakan yang lain, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintenden Mohd. Syamsuri Mohamad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada pukul 8.20 pagi sebelum operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Menurut beliau, maklumat awal mendapat seramai enam remaja sedang mandi pantai ketika kejadian, sebelum dua daripadanya berjaya diselamatkan orang awam, manakala empat yang lain dikhuatiri lemas.

“Hasil operasi pencarian, pada pukul 1.25 petang, pasukan penyelamat bersama orang awam berjaya menemukan mayat pertama di kedudukan 800 meter dari lokasi mereka lemas,” katanya kepada pemberita ditemui ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Tambah beliau, mayat mang­sa dibawa ke Hospital Kota Tinggi bagi proses pengecaman dan bedah siasat.

“Operasi SAR kini ditumpukan untuk mengesan tiga lagi mangsa yang masih hilang. Seramai 30 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan

Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasa Mari­tim Malaysia (APMM).

“Keadaan angin kencang, ombak bergelora dan kawasan pantai yang berbatu memberikan sedikit cabaran kepada pasu­kan penyelamat dalam menjalankan operasi pencarian,” katanya.

Setakat pukul 7 malam, tiga lagi mangsa yang belum ditemukan dikenalpasti sebagai Mohamad Haiman Fitri Supian; Muhammad Adib Hafiy Kamal dan Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor.

Sementara itu, ayah salah seorang mangsa, Rumainoor Salleh, 47, berkata, dia tidak tahu anaknya, Muhammad Thaqif Rayyan, 16, mengunjungi pantai berkenaan untuk berkhemah dan mandi bersama rakan.

Sebaliknya, dia hanya menyedari anak lelakinya itu tiada di rumah pagi semalam selepas pulang lewat kerana bekerja syif malam.

Bagaimanapun katanya, ahli keluarga reda dengan ketetapan yang telah berlaku, namun berharap jasad anaknya berjaya ditemukan.

“Kami sekeluarga reda de­ngan apa berlaku, kalau dia sudah tiada, dapat bawa balik jasad dia pun kami dah cukup Alhamdulillah.

“Dia ada beritahu kakaknya nak keluar ikut emak kawannya. Saya balik kerja lewat malam, pagi semalam selepas bangun tengok dia tiada di rumah. Tele­fon berkali-kali juga tidak dijawab,” katanya.  –UTUSAN

The post Empat remaja lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved