SEREMBAN - Seperti dijangka, Empat Undang Luak bersama Tunku Besar Tampin tidak akan hadir dalam Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15 yang bakal dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Besar, Tunku Muhriz Ibni Almarhum Tunku Munawir, pada Khamis.
Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan media bersama dikeluarkan oleh Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Mendika Menteri Akhirulzaman Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammad Abdullah (Johol), Datuk Sedia Raja Abdul Rahim Yasin (Rembau) dan Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin) pada tengah malam Rabu.
Mereka turut menasihatkan agar istiadat tersebut ditangguhkan sementara sehingga selesai segala proses adat dan undang-undang berhubung peralihan tampuk pemerintahan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Keputusan berkenaan dibuat susulan pengisytiharan pemecatan Tuanku Muhriz oleh mereka pada 19 April lalu serta melihat kepada situasi mutakhir ini.
"Kami mensabdakan bahawa berdasarkan Peruntukan Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan(UUTKNS) 1959, Menteri Besar tiada pilihan selain patuh kepada kehendak peruntukan yang tersebut.
"Kuasa yang diperuntukan kepada kami ini adalah dilindungi di bawah Perkara 71(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 79 UUTKNS 1959,"kata mereka.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Mubarak yang dilaporkan dipecat daripada jawatannya sebelum ini difahamkan tidak menerima surat jemputan bagi menghadiri majlis Istiadat Pembukaan Persidangan DUN dan disahkan oleh Setiausaha Sulit beliau sendiri.





