SEREMBAN - Polis Negeri Sembilan tidak akan mencampuri sebarang urusan berkaitan agama dan adat resam serta peruntukan yang termaktub di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menegaskan pihaknya amat menghormati adat perpatih dan UUTKNS yang menjadi teras kedaulatan pemerintahan, pentadbiran dan perpaduan negeri ini.
Pada masa sama katanya, menjadi keutamaan polis untuk memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan keamanan Negeri Sembilan sentiasa terpelihara, termasuk melindungi nyawa, keselamatan dan harta benda awam.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang, tidak melibatkan diri dalam mana-mana pihak yang terbabit, tidak membuat sebarang spekulasi serta memberi ruang kepada proses yang sedang berjalan tanpa sebarang gangguan.
"Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan, ulasan atau perkongsian, sama ada secara fizikal mahupun di platform digital dan tidak menyebarkan sebarang bentuk kandungan yang boleh menimbulkan kekeliruan, keresahan awam atau menyentuh sensitiviti berkaitan 3R (agama, raja dan kaum)," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mana-mana perbuatan berbentuk ugutan, provokasi, hasutan, fitnah, penyebaran maklumat palsu atau apa-apa unsur yang menyalahi undang-undang berkaitan perkara di atas, sekiranya dikesan, akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
Tambahnya, kerjasama semua pihak dalam mengekalkan ketenteraman, menghormati proses yang sedang berlangsung dan memelihara keharmonian negeri ini amat dihargai.






