SANDAKAN - Empat warga asing dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menebang pokok dan menceroboh kawasan Santuari Hidupan Liar Kinabatangan.
Kesemua tertuduh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dikenali sebagai Nasir Abdullah, Parihin Ariffin, Arif Ariffin dan Firman Tompo membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Roslinda Razali, pada Jumaat.
Menurut pertuduhan pertama, pada jam 11.31 pagi Selasa lalu, di Santuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan Lot 4, kesemua tertuduh didapati menebang pokok di dalam kawasan berkenaan tanpa kebenaran yang sah.
Bagi pertuduhan kedua pula, pada waktu dan tempat yang sama, kesemua mereka didapati menceroboh kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(1)(a) dan 15(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, yang boleh dihukum di bawah pindaan Subseksyen 17(3) dan 15(4) serta Seksyen 96(7) enakmen sama.
Hakim ketika menjatuhkan hukuman turut memerintahkan keempat-empat tertuduh diserahkan kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman untuk tindakan selanjutnya.
Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL), Primus Lambut, manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.






