
BALIK PULAU : Empat warga China termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki warga Singapura untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak 1 juta dolar Singapura atau kira-kira RM3.2 juta, Julai lalu.
Kesemua tertuduh iaitu Liu Ting Jun, 46; Huang Jian,39; Wang Hao Yu, 32 dan Guan Siqi, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka bersama dua individu yang masih bebas serta dua yang telah meninggal dunia didakwa bertindak dengan niat bersama menculik dan melarikan secara salah seorang lelaki warga Singapura iaitu Quek Aik Teng.
Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 5.15 petang, 26 Julai lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas, di sini bagi mendapatkan wang tebusan bernilai 1 juta dolar Singapura daripada mangsa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 3(1) akta sama. Sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara antara tempoh 30 hingga 40 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ikmal Affendi manakala tiga daripada tertuduh iaitu Huang Jian, Wang Hao Yu dan Guan Siqi diwakili peguam, Azizul Hilmi Zulkifli. Sementara itu, seorang lagi tertuduh iaitu Liu Ting Jun pula diwakili peguam, Edward Ng.
Ketika prosiding, kedua-dua peguam memohon supaya anak-anak guam mereka dibenarkan untuk diikat jamin atas beberapa alasan termasuk bersedia untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan dan sebagainya, namun, dibantah oleh pihak pendakwaan.
Menurut Ikmal, bantahan dibuat kerana pertuduhan yang dihadapi oleh kesemua tertuduh adalah serius dan melibatkan kepentingan awam selain semakan terhadap pasport mereka juga masih dijalankan dan belum mendapat pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ketika ini.
Mahkamah kemudian menolak permohonan jaminan dan menetapkan 15 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula bagi tujuan serahan dokumen.
Polis sebelum ini berjaya menumpaskan satu sindiket penculikan yang menyasarkan warga asing dengan memperdaya mereka menerusi tawaran kerja serta percutian menarik.
Kes terbongkar selepas dua daripada suspek yang juga warga asing mati ditembak di Alor Setar, Kedah, bulan lepas. Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terbabit dalam sindiket penculikan berkenaan.-UTUSAN
The post Empat warga China termasuk wanita tak mengaku culik lelaki Singapura appeared first on Utusan Malaysia.





