Wanita ditahan di India seludup 15kg ganja ada rekod lampau

10 Sep 2026 • 5:34 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Wanita ditahan di India seludup 15kg ganja ada rekod lampau

PETALING JAYA: Wanita Malaysia ditahan pihak berkuasa India selepas dipercayai cuba menyeludup lebih 15 kilogram (kg) ganja bernilai kira-kira 52.5 juta rupee (RM2.2 juta) di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi (IGI), New Delhi, pada 4 September lalu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, wanita berusia 22 tahun dari Perak itu ditahan selepas pihak Kastam Delhi menemukan 30 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki ganja dalam beg troli miliknya.

Katanya, suspek tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan Batik Air OD205 sebelum ditahan di Terminal 3 lapangan terbang berkenaan hasil pemeriksaan bersasar berdasarkan profil penumpang.

“Semakan turut mendapati wanita berkenaan mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah mengikut Seksyen 15(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek kini masih ditahan pihak berkuasa India bagi membantu siasatan dan akan berdepan proses perundangan negara berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini

Kata Hussein, pihaknya akan terus berhubung dengan Narcotics Control Bureau (NCB) India bagi mendapatkan butiran lanjut berhubung kes terbabit.

Sebelum ini, Jabatan Kastam Delhi (Lapangan Terbang dan Tugas Am) dalam kenyataan menerusi X memaklumkan, penumpang berkenaan yang tiba dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan OD205, telah ditahan di Terminal 3 selepas dikenal pasti menerusi pemeriksaan berdasarkan profil penumpang.

Penumpang berkenaan diarahkan dari Laluan Hijau untuk pemeriksaan lanjut.

Suspek kemudian ditahan mengikut Seksyen 43(B) Akta Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik (NDPS) India 1985, manakala dadah berkenaan dirampas mengikut Seksyen 43(A) akta sama.

Kes turut didaftarkan terhadap wanita Malaysia itu mengikut Seksyen 8, 20, 23 dan 29 Akta NDPS, meliputi kesalahan berkaitan pemilikan, pengangkutan, pengimportan dan konspirasi melibatkan bahan narkotik. – UTUSAN

The post Wanita ditahan di India seludup 15kg ganja ada rekod lampau appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved