
SHAH ALAM – Cubaan menyeludup masuk kokain untuk pasaran tempatan antara enam sindiket pengedaran dadah yang berjaya ditumpaskan dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang dan Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.
Operasi bermula 4 Ogos hingga kelmarin itu membawa kepada penahanan 12 suspek berusia antara 22 hingga 54 tahun, termasuk warga asing, selain merampas pelbagai jenis dadah seberat keseluruhan 600.3 kilogram (kg) bernilai RM37.5 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati sembilan daripada suspek warga asing terbabit memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan dipercayai berperanan sebagai keldai dadah.
Menurutnya, sebahagian mereka dipercayai diperdaya dengan tawaran pekerjaan bergaji lumayan menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram sebelum diminta membawa bagasi ke negara tertentu.
“Mereka mendapat tawaran daripada individu tidak dikenali untuk datang ke Malaysia sebelum diminta mengambil dan membawa bagasi ke negara lain.
“Umpan awal adalah tawaran pekerjaan menerusi media sosial dan ada antara mereka yang mendakwa tidak mengetahui bagasi dibawa mengandungi dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan siri operasi itu didapati seorang lelaki warga asing berusia 39 tahun ditahan selepas membawa kokain seberat 7.7kg yang dikesan dalam sebuah bagasi ketika melalui mesin pengimbas di KLIA oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia.
Katanya, suspek terbabit baru tiba di negara ini dan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Menerusi siri tangkapan ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor turut berjaya menumpaskan dua kegiatan pengedaran syabu dan heroin base di sekitar Ampang.
“Secara keseluruhan, dadah yang dirampas terdiri daripada bunga ganja seberat 96.1kg, syabu (408.6kg), heroin base (87.9kg) dan kokain (7.7kg),” katanya.
Shazeli berkata, polis turut merampas masing-masing sebuah Toyota Hilux dan Honda City serta wang tunai berjumlah RM2,704.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata tiga suspek telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala dua lagi dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Seorang suspek pula dibebaskan kerana tidak terdapat elemen pembuktian yang mencukupi berhubung penglibatannya dalam sindiket,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Enam sindiket tumpas, rampas 600 kg dadah appeared first on Kosmo Digital.






